Calon PRK Ayer Kuning: Pemuda UMNO Serah Kepada Pucuk Pimpinan
KUALA LUMPUR, 25 Feb – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berharap Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Pilihan Raya Kecil (PRK) susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata berkenaan calon yang akan diketengahkan, pihaknya menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti.
“Kita berharap bahawa UMNO akan kekal memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dan pada masa yang sama serahkan kepada kebijaksanaan pucuk kepimpinan parti untuk menentukan siapakah yang terbaik.
“Saya percaya siapa yang dipilih oleh parti itu adalah yang terbaik yang akan kita keluarkan untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Insya-Allah, setiap kali pilihan raya kita akan melobi. Baik Pemuda, Wanita, Puteri… mahu pun siapa saja itu adalah perkara biasa.
“Kita bagi nama kepada pucuk pimpinan dan serahkan kepada kebijaksanaan Presiden untuk menilai,” katanya menerusi sidang media yang diadakan sebentar ketika menerima kunjungan daripada Angkatan Muda Partai Golkar Indonesia (AMPG) ke Ibu Pejabat UMNO.
PRK DUN Ayer Kuning dijangka diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, Sabtu lalu akibat serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada PRU15, Ishsam mewakili BN menang dengan majoriti 2,213 undi apabila meraih 9,088 undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon Pakatan Harapan (6,875), Perikatan Nasional (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586). – UMNO Online