UMNO/BN Sabah Bersiap Sedia Kembali Menjadi Parti Dominan – Suhaimi
KOTA KINABALU, 26 Feb – UMNO/Barisan Nasional (BN) Sabah kini giat bersiap sedia untuk kembali menjadi parti dominan di negeri ini, selaras dengan aspirasi yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, menyambut baik kenyataan tersebut dan menegaskan bahawa ia bukan sekadar aspirasi, tetapi satu seruan perjuangan yang perlu disahut dengan penuh keyakinan dan kesungguhan.
“UMNO/BN Sabah pernah menjadi tunjang politik negeri ini, membawa kestabilan dan pembangunan yang dinikmati oleh rakyat.
“Kami yakin dengan kebangkitan semula semangat perjuangan, kekuatan jentera parti serta sokongan rakyat, kita mampu mengembalikan kegemilangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) bakal menjadi titik penting dalam perjuangan UMNO/BN Sabah.
Oleh itu, beliau menyeru agar jentera parti terus diperkukuh bagi memastikan rakyat yakin bahawa UMNO/BN masih merupakan wadah terbaik untuk membela kepentingan mereka.
Jelas beliau, jentera parti di seluruh Sabah sedang giat digerakkan dan yakin dengan kesatuan serta semangat juang yang tinggi, UMNO/BN akan kembali sebagai kuasa utama politik Sabah.
“Kita tidak akan berundur, kita tidak akan goyah, kerana perjuangan ini adalah demi rakyat dan negeri Sabah yang kita cintai,” tegasnya.
Beliau turut menyeru semua ahli dan penyokong UMNO/BN agar bangkit bersama dengan kekuatan akar umbi, pengalaman kepimpinan dan hala tuju yang jelas bagi memastikan kejayaan parti dalam PRN-17.
“UMNO/BN Sabah tidak akan pernah mengalah!” katanya dengan penuh semangat. – UMNO Online