Pembangunan Bekalan Air: Komitmen Berterusan Mohd Zaidy Demi Rakyat

JEMPOL, 25 Feb – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menegaskan komitmennya menggalas tugas dan memberikan khidmat adalah untuk memastikan keperluan masyarakat termasuk urusan bekalan air bersih di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut terus menjadi keutamaan.

Terdahulu beliau telah hadir dalam Taklimat Pembangunan Bekalan Air bagi kawasan Jeram Padang yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Datuk Ir. Mohd Yazid Ahmad di Ibu Pejabat SAINS semalam.

Ujarnya, taklimat tersebut memberikan gambaran menyeluruh mengenai pelan pembangunan serta penambahbaikan infrastruktur bekalan air di kawasan itu.

“Saya amat menghargai usaha dan komitmen SAINS dalam memastikan infrastruktur air yang lebih baik untuk rakyat.

“Keutamaan saya adalah memastikan keperluan asas rakyat sentiasa dipenuhi, terutamanya dalam mendapatkan bekalan air bersih yang stabil dan mencukupi,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut beliau, isu bekalan air bersih merupakan aspek penting dalam kehidupan rakyat, dan usaha berterusan perlu dilakukan bagi memastikan perkhidmatan air yang lebih baik dapat dinikmati oleh semua penduduk secara holistik.

Beliau turut menyatakan bahawa pelan pembangunan ini akan merangkumi usaha menambah baik kapasiti loji rawatan air, menaik taraf paip bekalan air serta mengatasi masalah gangguan bekalan yang sering dihadapi penduduk di beberapa kawasan.

Mohd Zaidy juga memberi jaminan bahawa beliau akan terus memantau perkembangan pelaksanaan projek ini dan memperjuangkan kepentingan rakyat agar masalah bekalan air dapat ditangani dengan lebih berkesan.

“Saya akan sentiasa memastikan segala isu berkaitan bekalan air di DUN Jeram Padang mendapat perhatian sewajarnya.

“Kerjasama erat antara pihak kerajaan negeri, SAINS dan pihak berkepentingan lain amat diperlukan bagi memastikan setiap perancangan dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat,” tambahnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan dalam usaha melunaskan pelbagai gerak kerja demi manfaat rakyat.

“Dengan usaha berterusan dan komitmen semua pihak termasuklah masyarakat keseluruhan, saya yakin segala usaha yang baik akan dapat memberi pulangan kepada rakyat kerana keutamaan dalam melaksanakan khidmat ini adalah untuk kesinambungan kesejahteraan dan kestabilan masyarakat sepenuhnya,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit