Ulang Tahun Ke-34: UMNO ‘Bidan’ Pembangunan Sabah – Sharif Musa

LAHAD DATU, 23 Feb – UMNO Sabah bakal mengadakan sambutan ulang tahunnya yang ke-34 dalam satu majlis keraian di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Tawau pada Ahad ini.

Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul, menegaskan bahawa UMNO Sabah telah memainkan peranan penting malah menjadi ‘bidan’ dalam membangunkan negeri tersebut sejak penubuhannya pada tahun 1991.

Menurutnya, UMNO Sabah bukan sekadar sebuah parti politik tetapi juga merupakan pencetus kepada perubahan dan kemajuan bagi rakyat negeri ini.

“Sambutan ini bukan sahaja menandakan perjalanan lebih tiga dekad parti ini di sini, tetapi juga mengimbau kembali peranan dan sumbangan besar UMNO dalam pembangunan Sabah.

“Selama lebih 30 tahun, UMNO Sabah telah melalui pelbagai cabaran dan kejayaan dalam usaha memperjuangkan nasib rakyat. Parti ini telah mencipta sejarah serta berjasa besar, terutamanya dalam aspek pembangunan infrastruktur, pendidikan, ekonomi, dan kesejahteraan rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, kemajuan yang dicapai hasil perjuangan UMNO telah banyak mengubah landskap negeri, memberikan keselesaan dan kemudahan yang sebelum ini sukar diperoleh.

“UMNO juga berperanan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pelbagai inisiatif ekonomi.

“Semua ini adalah sebahagian daripada perjuangan UMNO dalam membangunkan rakyat Sabah agar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan negara.

“Sebagai sebuah parti yang menjadi tunjang kepada perjuangan politik negeri, UMNO Sabah terus berperanan sebagai platform khidmat kepada rakyat. Sepanjang lebih tiga dekad, terus kekal relevan sebagai parti yang membawa suara dan harapan rakyat walaupun berdepan pelbagai cabaran.”

Sehubungan itu, Sharif Musa mengajak seluruh warga UMNO Sabah dan kawasan sekitar untuk hadir memeriahkan sambutan ulang tahun UMNO Sabah ke-34 di Tawau Ahad ini sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan parti dalam meneruskan legasi pembangunan negeri.

“Sambutan ini bukan sekadar meraikan ulang tahun parti, tetapi juga sebagai penghormatan kepada segala usaha dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh pemimpin dan ahli UMNO sejak dahulu lagi. Marilah kita semua terus bersatu dalam memastikan UMNO Sabah kukuh dan kekal memperjuangkan hak serta kebajikan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit