Akta Pembaharuan Bandar: Wajar Laksana Sesi Rundingan

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Nasrun Nasaruddin berpandangan kerajaan wajar mengadakan sesi rundingan terbuka bersama komuniti, ahli akademik dan pihak berkepentingan sebelum meneruskan pelaksanaan Akta Pembaharuan Bandar (URA).

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wangsa Maju berkata ini kerana sebarang dasar yang memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat tidak boleh dilaksanakan tanpa memastikan perlindungan yang sewajarnya.

“Kita mahukan pembangunan tetapi bukan yang meminggirkan rakyat. Kami menyokong pembangunan bandar yang berdaya maju, moden dan mampan tetapi ia mesti berlaku dengan adil. Bumputera telah lama menjadi sebahagian daripada ekosistem bandar Malaysia dan hak mereka untuk memiliki rumah dan menjalankan perniagaan di bandar mesti dipertahankan.

“Sebarang dasar yang memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat tidak boleh dilaksanakan tanpa memastikan perlindungan yang sewajarnya.

“Rakyat Malaysia berhak untuk tinggal dan berkembang di bandar mereka sendiri, bukan dipinggirkan atas nama pembangunan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau lagi, URA bertujuan untuk membangunkan semula kawasan bandar yang usang namun tanpa perlindungan yang jelas, akta ini boleh mengakibatkan peminggiran komuniti Bumiputera di bandar-bandar utama.

Katanya lagi, jika proses pembangunan ini tidak dikawal dengan baik ramai pemilik rumah berisiko kehilangan kediaman mereka kerana syarat persetujuan untuk pembangunan semula kini diturunkan.

“Ini membuka ruang kepada tekanan daripada pemaju untuk memaksa penjualan hartanah, yang akhirnya boleh menyebabkan penduduk asal dipindahkan ke kawasan lain.

“Kita perlu memastikan bahawa pembangunan tidak mengorbankan hak penduduk sedia ada dan tidak menjadikan bandar sebagai ruang eksklusif hanya untuk golongan kaya.

Nasrun dalam pada itu menggesa kerajaan untuk mengambil beberapa langkah-langkah antaranya menetapkan kuota pemilikan rumah bumiputera yang jelas bagi memastikan projek pembangunan menyediakan unit khas untuk penduduk asal pada harga mampu milik.

“Menjamin hak pemilik rumah untuk kekal dengan skim pembiayaan khas perlu diperkenalkan bagi membantu pemilik rumah membeli semula hartanah mereka selepas pembangunan.

“Perlindungan undang-undang daripada penjualan paksa dengan naikkan semula syarat persetujuan pembangunan kepada sekurang-kurangnya 80 peratus bagi memastikan pemilik tidak dipaksa menjual tanpa persetujuan majoriti yang lebih besar.

“Melaksanakan Penilaian Impak Sosial (SIA) secara wajib sebelum mana-mana projek pembangunan diluluskan, kesannya kepada komuniti sedia ada mesti dinilai dengan telus serta memastikan perniagaan bumiputera kekal berdaya saing premis komersial dalam projek pembangunan mesti memberi keutamaan kepada usahawan dan peniaga bumiputera supaya mereka tidak kehilangan ruang perniagaan mereka,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit