Azalina Terima Kunjungan Hormat Speaker Dewan Rakyat UK, Bincang Tentang Reformasi Parlimen

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, telah menerima kunjungan hormat daripada Speaker Dewan Rakyat United Kingdom, Sir Lindsay Hoyle, yang sedang dalam rangka lawatan rasminya ke Malaysia, semalam.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak mengadakan perbincangan serta bertukar pandangan mengenai reformasi parlimen, termasuk peranan jawatankuasa pilihan dan sistem sokongan mereka dalam meningkatkan fungsi parlimen.

Ujar Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO merangkap Ahli Parlimen Pengerang, perbincangan turut merangkumi Akta Parlimen Jangka Tetap, kesan Rang Undang-undang Persendirian serta cabaran keselamatan dalam talian yang semakin meningkat.

“Saya juga mengambil peluang untuk memaklumkan delegasi UK mengenai agenda reformasi perundangan yang telah dilaksanakan oleh Malaysia termasuk Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 yang telah diluluskan dalam sidang lepas serta pindaan kepada kanun keseksaan dalam usaha memastikan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau turut menyatakan harapan agar hubungan dua hala antara Malaysia dan United Kingdom akan terus diperkukuh demi manfaat bersama kedua-dua negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit