Sahut Saranan MB… Kerajaan Johor Akan Bekerjasama Dengan LPNM, Pengusaha Nanas – Zahari

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Untuk menyahut saranan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Kerajaan Negeri Johor akan bekerjasama rapat dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan para pengusaha.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Kasap, Datuk Zahari Sarip berkata, Johor merupakan pengeluar nanas terbesar di Malaysia, merangkumi 63.7 peratus dari jumlah pengeluaran negara.

“Alhamdulillah, berpeluang mengadakan perbincangan bersama LPNM untuk membincangkan pembangunan industri nanas di Negeri Johor yang turut disertai pemain-pemain industri nanas.

“Umum sedia maklum bahawa Johor merupakan pengeluar terbesar nanas di Malaysia dengan pengeluaran lebih 280 ribu metrik tan setiap tahun dengan nilai hasil lebih RM680 juta. Pengeluaran Johor merangkumi 63.7 peratus daripada jumlah pengeluaran nanas negara.

“Mesyuarat kali ini diadakan di Simpang Renggam, Kluang yang tentunya sangat sinonim dengan tanaman nanas di Negeri Johor. Saiz tanaman nanas di daerah Kluang sahaja adalah seluas 5,047 hektar, iaitu terbesar di Johor berbanding daerah lain,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Segamat berkata, kerjasama yang ingin dirangka itu adalah bertujuan untuk membangunkan lagi industri nanas agar lebih produktif dan mampu menjana pendapatan tinggi kepada para petani.

“Menyahut saranan daripada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Kerajaan Negeri akan bekerjasama rapat dengan LPNM dan pengusaha-pengusaha nanas dalam Negeri Johor untuk membangunkan lagi industri nanas agar lebih produktif, berdaya saing serta mampu menjana pendapatan yang lebih tinggi kepada petani.

“Usaha ini tidak hanya tertumpu kepada pengeluaran hasil tanaman semata-mata, tetapi juga aspek agropelancongan dan industri asas tani. Malah Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500 ribu melalui Belanjawan Negeri 2025 untuk tujuan insentif bantuan benih nanas MD2, pembangunan infrastruktur ladang, penyediaan latihan dan promosi bagi menggalakkan lebih ramai anak muda menceburi bidang pertanian nanas,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor akan terus komited untuk memperkasakan kedudukan negeri tersebut sebagai pengeluar utama nanas.

“Kerajaan Negeri komited untuk terus memperkasa kegemilangan Johor sebagai pengeluar utama nanas di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Turut hadir ke sesi perbincangan ini ialah Pengerusi LPNM Sheikh Umar Bagharib Ali, Yang DiPertua Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Mohd Fa’iz Salehon, Setiausaha Sulit Khas, Menteri Besar Johor, Wan Hafiq Abdul Jalil, Pengarah LPNM Johor, Ahmad Fitri Shah Mohd Yussof, Pegawai Pertanian Daerah Kluang, Azlina Md Dom, Ketua Whip MDSR, Mohd faizal Md Said dan Pengurus Jermanpine CafeEn, Anal Talhah,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit