Kem A-Plus Mencipta Generasi Hebat, Bentuk Nilai Kepimpinan – Sollehin

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie menyifatkan Kem A-PLUS sebagai platform yang bukan sahaja membentuk kepimpinan tetapi juga membina keyakinan dan jati diri.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang ketika bertemu dengan para peserta berkata mereka perlu memanfaatkan program seumpama ini dalam memperolehi ilmu sebaiknya.

“Saya selalu percaya bahawa kejayaan sebenar bukan diukur dengan berapa tinggi kita mendaki, tetapi sejauh mana kita memanfaatkan kejayaan itu untuk agama, bangsa, dan tanah air.

“Saya tekankan kepada adik-adik di sana, jika mahu jadi insan luar biasa, jalannya tidak mudah. Akan ada cabaran, ujian, kata-kata yang melemahkan semangat. Tapi jangan gentar. Allah tentukan setiap perjalanan hidup kita dengan hikmah yang tersendiri.

“Ada masanya kita jatuh, ada masanya kita diuji tapi yang paling penting ialah bangun semula dan terus melangkah,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.

Mohammad Sollehin berkata demikian ketika bersama anak-anak Bukit Gantang dan Larut di Kem A-PLUS Yayasan Pelajaran MARA di USAS Resort, semalam.

Untuk rekod di kem ini, para peserta diuji secara fizikal, mental, cabaran kumpulan, latihan komunikasi dan semuanya bertujuan untuk membentuk keberanian serta kecekalan diri.

Dalam pada itu, Mohammad Sollehin turut berharap mereka sedar bahawa perjalanan menuju impian bukan tentang siapa yang tiba dahulu tetapi yang mampu bertahan walau sesukar mana pun laluan dilalui.

“Saya pesan kepada mereka, pilih kawan yang betul, yang membina semangat dan bukan yang melemahkan. Jangan takut untuk bermimpi besar, kerana setiap kejayaan yang kita lihat hari ini bermula dengan satu impian. Yang membezakan mereka yang berjaya dan tidak adalah siapa yang berani untuk terus berjuang.

“Saya yakin anak-anak ini akan pulang dengan semangat yang lebih kuat, lebih percaya kepada diri sendiri, dan lebih bersedia untuk menghadapi masa depan. Semoga mereka menjadi pemimpin yang bukan sekadar berjaya untuk diri sendiri, tetapi juga membawa manfaat kepada orang lain,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit