Sentiasa Prihatin… Wanita UMNO Lahad Datu Ziarahi Mangsa Kebakaran, Rakan Seperjuangan
KUALA LUMPUR, 14 Feb – Di atas keprihatinan, Wanita UMNO Bahagian Lahad Datu telah turun padang untuk menziarahi mangsa kebakaran dan rakan seperjuangan mereka yang menghadapi masalah kesihatan.
Ketuanya, Sitti Royani Rafael telah menyempurnakan lawatan tersebut bersama Ahli Jawatankuasa Skuad Sayang 3K Kebangsaan Bahagian Lahad Datu.
“Ketua Wanita UMNO Bahagian Lahad Datu, Sitti Royani Rafael bersama Jawatankuasa menyampaikan sumbangan daripada Skuad Sayang 3K Kebangsaan kepada mangsa kebakaran.
“Selain itu, kami turut menziarahi ahli Wanita UMNO Cawangan Kampung Bakau (B) yang menghadapi masalah kesihatan dan baru juga kehilangan suami tercinta,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook Wanita UMNO Bahagian Lahad Datu.
Mengulas lanjut, mereka turut berharap agar dengan sumbangan yang dihulurkan itu, ia mampu meringankan sedikit beban ditanggung oleh kedua-dua keluarga.
“Kami berharap dengan sumbangan ini, ia mampu membantu meringan sedikit beban yang dihadapi oleh kedua-kedua keluarga,” katanya.
Sumbangan yang telah disampaikan kepada kedua-dua buah keluarga tersebut adalah berupa barangan keperluan peribadi harian dan juga makanan. – UMNO Online