Onn Hafiz Yakin Dengan Inisiatif Dan Visi, Johor Mampu Maju Menjelang 2030

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Sebanyak 252 inisiatif telah dirangka dalam Belanjawan Johor 2025 untuk memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan dengan cemerlang.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata inisiatif-inisiatif tersebut merangkumi pelbagai sektor penting seperti ekonomi, pendidikan, infrastruktur, kesihatan dan kebajikan rakyat, yang kesemuanya dirancang untuk memberi impak positif kepada Bangsa Johor.

Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri berharap agar tahun ini semua pihak akan melangkah lebih jauh dalam merealisasikan impian Johor untuk menjadi negeri maju dalam tempoh lima tahun lagi.

“Saya percaya, dengan usaha bersama dan visi yang jelas, kita mampu menjadikan Johor bukan sahaja sebuah negeri yang maju, tetapi juga negeri yang paling selesa untuk didiami, tempat di mana setiap rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera dan penuh peluang.

“Sebagai pemimpin negeri, saya telah meminta semua Exco Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap inisiatif ini berjaya dilaksanakan pada tahun ini.

“Setiap inisiatif ini bertujuan memberi impak besar kepada pembangunan negeri, dengan tumpuan utama untuk meningkatkan kualiti hidup Bangsa Johor. Saya yakin bahawa kejayaan kita bergantung kepada kerjasama dan komitmen padu daripada semua pihak,” kata Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap dalam satu hantaran di Facebook.

Tambahnya lagi, antara inisiatif utama yang sedang dilaksanakan adalah Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ), yang dijangka menjadi pemangkin utama bagi pertumbuhan ekonomi Johor.

“JS-SEZ bukan sahaja akan menarik lebih banyak pelaburan asing, tetapi juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat negeri ini. Ia merupakan salah satu agenda utama untuk menjadikan Johor sebagai hab ekonomi utama di rantau ini.

“Dengan sokongan padu dari semua pihak dan kerjasama Bangsa Johor, saya yakin inisiatif-inisiatif ini akan membawa Johor menuju kejayaan yang lebih gemilang.

“Insya-Allah, dengan usaha yang berterusan dan kerjasama yang kukuh, kita akan menyaksikan Johor sebagai sebuah negeri yang maju menjelang tahun 2030,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79