‘Hormati Perlembagaan Persekutuan, Tiada Keperluan Menteri Hal Ehwal Agama Lain’ – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap semua pihak untuk menghormati Perlembagaan Persekutuan termasuk Perkara 3 yang sudah termaktub dalam menjaga keharmonian negara.

Beliau malah berpandangan bahawa tiada keperluan untuk diwujudkan menteri hal ehwal agama lain seperti dicadangkan.

“Hormati Perlembagaan Perkara 3 Kedudukan Islam dan Raja2 Melayu Pemelihara Islam.

“Tiada keperluan menteri hal ehwal agama lain. Menteri Perpaduan yang patut jalankan kerja,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara it menjengah ke ruangan komen, Dr Asyraf berkata peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan (Perkara 3), tetapi ia juga menjamin kebebasan beragama untuk semua (Perkara 11), namun tiada peruntukan yang menyediakan tatacara khusus pengurusan agama selain Islam.

Katanya lagi, pandangan dan cadangan boleh dibuat namun akhirnya Perlembagaan sebagai Undang-undang tertinggi negara adalah pemutus segalanya.

“Mungkin ada pula yang persoal bahawa perlembagaan boleh dipinda.

“Ya! Namun dalam hal melibatkan kedudukan Islam dan Melayu, syarat untuk meminda bukan sahaja Ahli Parlimen mesti cukup minima 148 orang (2/3 majoriti) menyokong pindaan tetapi yang paling penting mesti mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.

“Dap hanya ada 40 kerusi. Jadi boleh sekadar berkhayal sahaja jika mahu pinda Perlembagaan berhubung kedudukan Islam,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu berkata ia adalah pendirian tegas Presiden dan pimpinan UMNO.

“Bahkan bukan Islam dalam Kerajaan Perpaduan samaada Dap, PKR, UPKO, parti-parti dalam gabungan Sabah GRS, parti-parti dalam gabungan Sarawak GPS, sudah menanda-tangan perjanjian untuk tidak sesekali melanggar Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan Islam, keistimewaan Melayu-bumiputera, kedaulatan Raja-raja Melayu dan Bahasa Melayu,” tegas Dr Asyraf. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit