Musliati Tegaskan Komitmen UMNO Terus Bersama Rakyat, Tolak Permainan Isu

KOTA KINABALU, 13 Feb – Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin menegaskan bahawa kepimpinan UMNO sentiasa menyantuni rakyat yang ditimpa musibah, selaras dengan semangat ‘dulu, kini dan selamanya’ yang menjadi pegangan parti.

Ujarnya, dalam menghadapi pelbagai cabaran UMNO sentiasa berusaha berdamping dengan rakyat termasuklah mendepani bencana banjir yang melanda beberapa kawasan, malah terus tampil membantu dengan pelbagai bentuk bantuan.

“UMNO telah lama sinonim dengan usaha membantu rakyat tanpa mengira masa dan keadaan. Kita akan terus berkhidmat dan memastikan kebajikan rakyat diutamakan,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Musliati, keprihatinan terhadap rakyat bukan hanya perlu ditunjukkan ketika berada dalam kerajaan, tetapi dilaksana setiap masa waima sewaktu menjadi pembangkang.

“Khidmat untuk rakyat harus berterusan tanpa mengira kedudukan politik. Kerana itulah kita perlu tegas menolak pemimpin yang hanya muncul ketika hampir pilihan raya semata-mata untuk meraih sokongan politik.

“Fokus utama kita adalah memastikan rakyat mendapat pembelaan sewajarnya. UMNO/Barisan Nasional (BN) ‘dulu, kini dan selamanya’ akan terus menjadi tunjang kepada kebajikan rakyat. Jangan biarkan ada pemimpin yang hanya muncul bermusim untuk kepentingan mereka.”

Dalam pada itu, Musliati juga menegaskan bahawa UMNO menolak sebarang permainan politik yang cuba memanipulasi isu-isu tertentu demi kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.

Menurutnya, tindakan sebegini hanya akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap politik yang sepatutnya berfungsi sebagai wadah untuk membawa kesejahteraan kepada semua.

Justeru, beliau menyeru masyarakat agar lebih peka dalam menilai keikhlasan pemimpin yang berjuang untuk rakyat.

“Dalam usaha memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjamin, UMNO/BN akan terus memperkukuh agenda pembangunan dan memperjuangkan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

“Keprihatinan terhadap keperluan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan, selaras dengan perjuangan parti yang telah berakar umbi sejak sekian lama,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit