UMNO Beaufort Teruskan Misi ‘Dari Rakyat Kepada Rakyat’, Laksana Khidmat Bakti

BEAUFORT, 12 Feb – UMNO Bahagian Beaufort yang diketuai Datuk Awang Aslee Lakat bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian terbabit turun padang meneruskan misi ‘dari rakyat kepada rakyat’ dengan tekad untuk terus berbakti dan menjaga kebajikan masyarakat.

Ujar Awang Aslee, gerak kerja memperjuangkan kebajikan rakyat dengan menyantuni dan menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan sentiasa diaktifkan malah ia telah sebati dengan UMNO selaku parti membela rakyat.

“UMNO Bahagian Beaufort sentiasa memastikan rakyat tidak terpinggir dan terus dibantu mengikut keperluan masing-masing,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu beliau telah menziarah keluarga Allahyarhamah Mariati Jukra iaitu seorang anggota polis di Kampung Laba yang telah berpulang ke rahmatullah dan juga menghadiri beberapa undangan majlis perkahwinan iaitu di Kampung Kerukan dan Kampung Kemensian, Kuala Penyu.

Sebelum itu, Awang Aslee meluangkan masa memenuhi undangan ke Majlis Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baru Cina 2025 UPKO Beaufort yang di hadiri oleh Presiden UPKO merangkap Pengerusi PH Sabah dan juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Datuk Ewon Benedick.

“Terima kasih UPKO Beaufort kerana sudi mengundang saya dan kepimpinan UMNO Beaufort untuk hadir memeriahkan majlis yang penuh dengan semangat keharmonian masyarakat majmuk di sini,” ujarnya.

Berkaitan dengan banjir yang melanda beberapa kawasan di sini, Awang Aslee juga telah menggerakkan misi bagi membantu mangsa banjir.

Ujarnya, dalam usaha meringankan beban penduduk yang terjejas akibat bencana tersebut, pasukan Pemuda dan Puteri UMNO Beaufort telah digerakkan dengan menyalurkan bantuan penghantaran bekalan air bersih ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Selagon, Beaufort.

“Misi ini digerakkan Ketua Pemuda UMNO Beaufort, Ak Mohd Yazri Pg Yahya dan Ketua Puteri di sini, Munira Sarrie sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial dalam memastikan kebajikan mangsa banjir terus terbela.

“UMNO sentiasa bersedia membantu masyarakat yang memerlukan, terutama dalam situasi kecemasan seperti ini. InsyaAllah, bantuan yang diberikan, yang sedikit sebanyak membantu mereka menghadapi kesukaran sepanjang tempoh pemindahan,” katanya.

Awang Aslee juga memaklumkan bahawa gerak kerja yang dilaksana melalui Biro Kebajikan UMNO Beaufort juga masih meneruskan usaha menyantuni penduduk yang bakal melangsungkan majlis perkahwinan sebagaimana kepada keluarga Zakaria Masrun di Kampung Kerukan dan keluarga Jusbian Kenneth di Kampung Kayul, Kuala Penyu.

“Sumbangan ini disampaikan sebagai tanda keprihatinan UMNO Bahagian Beaufort dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. Kehadiran mereka bukan sahaja bertujuan untuk memberikan sumbangan tetapi juga sebagai tanda sokongan dan keprihatinan UMNO. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit