AMK Bebas Tanding Semua 56 Kerusi DUN Johor, UMNO/BN Tetap Fokus Majukan Negeri – Mohd Lassim

SRI GADING, 12 Feb – Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohd Lassim Burhan, menegaskan bahawa Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan sekutunya bebas bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN-16) kelak.

Kenyataan ini dibuat sebagai reaksi terhadap tindakan AMK dan Parti Amanah yang kerap membangkitkan isu pembahagian kerusi PRN akan datang.

Tegas Mohd Lassim, pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui oleh UMNO Johor dan Barisan Nasional (BN) terus komited dalam memajukan negeri terbabit.

“Buktinya dengan unjuran hasil dan juga berjaya menarik pelaburan serta penjenamaan model ekonomi baru yang dapat mencipta peluang pekerjaan serta pendapatan rakyat negeri.

“Kemakmuran ini juga disokong oleh kepercayaan dan rasa kasih rakyat kepada pimpinan negeri,” katanya.

Ujar beliau, dalam mencapai keharmonian bukan sahaja fokus berpolitik setiap masa perlu diutamakan.

“Kenyataan AMK dan Parti Amanah yang sering membangkitkan isu pembahagian kerusi untuk PRN 16 telah menunjukkan sifat gelojoh dan pentingkan diri.”

Beliau berpendapat bahawa kenyataan mereka menggambarkan seolah-olah UMNO tamak dan seakan PRN akan berlangsung dalam masa terdekat, sedangkan parti itu sendiri belum membincangkan soal pembahagian kerusi di peringkat negeri.

“UMNO Johor sendiri belum pernah melalui perhubungan Negeri-nya berbincang tentang pembagian kerusi untuk PRN-16. Gambaran yang diberikan pula seolah UMNO tamak dan PRN akan berlangsung esok hari.

“Bagi kami, lebih baik AMK dan sekutunya bertanding semua kerusi tanpa memikirkan soal berapakah kerusi yang akan UMNO tandingi pada PRN 16 nanti.

“Seperti mana yang kita semua ketahui bahawa UMNO bukanlah Komponen Gabungan Parti Politik PH. UMNO boleh bergerak bertanding semua dan UMNO juga boleh memilih kerusi mana yang dirasakan sesuai untuk ditandingi.

Beliau mengakhiri kenyataannya dengan, menyatakan bahawa AMK boleh bertanding di semua 56 kerusi DUN Johor tanpa sebarang halangan.

“Akhir kata, buat ‘Mat AMK’ bolehlah bertanding semua 56 kerusi DUN Johor pada PRN-16 nanti, tiada siapa yang sibuk nak halang kamu bertanding,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit