Rumah Kasih Johor: Inisiatif Kerajaan Negeri Untuk Golongan Miskin – Mohd Jafni
KULAI, 11 Feb – Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, baru-baru ini telah menyerahkan sijil tawaran Rumah Kasih Johor (RKJ) kepada penerima-penerima yang layak di daerah terbabit.
Jelasnya, program yang dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) melalui kontraktor utama KPRJ E&C ini, telah berjaya membina 50 unit rumah RKJ pada tahun 2023 di 10 daerah di Johor, dengan setiap daerah menerima 5 unit rumah.
“Program ini merupakan usaha murni Kerajaan Negeri Johor untuk membantu mereka yang memerlukan memiliki rumah secara percuma pada bulan yang penuh keberkatan ini,” katanya melalui hantaran dalam laman Facebooknya.
Ujarnya, penyerahan kunci kepada 50 keluarga golongan miskin dan miskin tegar ini telah dilaksanakan pada bulan Ramadan (April 2024), dengan kerjasama Pejabat Daerah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), dan KPRJ melalui Program Jelajah Kasih Ramadan PKPJ.
“Peruntukan untuk program RKJ telah dipertingkatkan pada tahun 2024 oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, kepada 120 unit rumah yang kini sedang dalam fasa pembinaan dan dalam ucapan Belanjawan 2025, Kerajaan Negeri Johor turut mempertingkatkan lagi peruntukan bagi RKJ kepada 165 unit rumah.”
Terangnya, dalam usaha memperbaiki dan meningkatkan pelaksanaan Rumah Kasih Johor, beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan pada tahun 2024. Antaranya ialah:
1. Kelonggaran syarat pemilikan tanah cadangan RKJ, di mana calon boleh menggunakan tanah milik keluarga terdekat dengan syarat mendapat kebenaran bertulis daripada pemilik tanah.
2. Penawaran pelbagai jenis rumah mengikut kesesuaian isi rumah, dengan harga RM88,000 untuk rumah jenis 3 bilik, RM83,000 untuk 2 bilik, dan RM78,000 untuk 1 bilik, termasuk kos-kos ekstrem.
3. Penubuhan Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pemilihan RKJ untuk memastikan proses pemilihan peserta dan pelaksanaan program berjalan dengan telus dan cekap.
Mohd Jafni turut mengucapkan terima kasih kepada ADUN-ADUN, Pentadbiran Daerah, Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor dan KPRJ yang telah bekerjasama memastikan bahawa hanya calon yang benar-benar layak dipilih untuk menerima manfaat daripada program Rumah Kasih Johor.
“Program ini menjadi harapan baru bagi banyak keluarga dalam golongan miskin dan miskin tegar di Johor, memberi mereka peluang untuk memiliki kediaman yang selesa dan layak,” katanya lagi. – UMNO Online