Tingkatkan Persiapan Jentera, Wanita UMNO Sabah Sedia Gempur Untuk PRN Ke-17

KOTA KINABALU, 11 Feb – Wanita UMNO di Sabah terus memperkukuhkan jentera menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 dengan mengadakan Retreat PRN-17 Wanita UMNO Sabah.

Ketua Wanita UMNO/Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Noraini Idris memaklumkan bahawa keutamaan kepada kesiapsiagaan melibatkan anggota jentera amat penting apatah lagi PRN kali ini dianggap lebih mencabar terutamanya dalam mendepani isu-isu yang berbangkit.

Beliau mengakui bahawa Wanita adalah jentera utama barisan hadapan parti dalam setiap pilihan raya.

“Wanita UMNO adalah jentera utama barisan hadapan parti. Setiap kali pilihan raya, kami bekerja keras menyantuni pengundi di akar umbi untuk memastikan kemenangan calon-calon BN.

“Kami sedar bahawa cabaran yang ada semakin besar pada PRN kali ini, maka adalah penting untuk kami sentiasa mempersiapkan diri dan jentera secara holistik kami agar dapat mencapai kejayaan,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, dalam mengharungi cabaran semasa, Wanita perlu sentiasa memperkukuh kerjasama dan lebih fokus terhadap tindakan selain memelihara kesepaduan di segenap penjuru.

Terdahulu pemukiman Wanita UMNO Sabah ini diaksana selama dua hari pada 8-9 Februari lalu dengan dirasmikan oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Turut hadir ialahSetiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Setiausaha Eksekutif BN, Datuk Sahfri Aziz, dan Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar di samping kepimpinan Wanita Negeri Sabah.

Ujar Noraini, retreat ini diadakan untuk memberi latihan dan perkongsian strategi kepada semua anggota Wanita UMNO Sabah, terutama dalam berdepan dengan isu-isu semasa yang berkaitan dengan politik di negeri ini.

“Wanita UMNO Sabah sentiasa komited dalam memainkan peranan penting demi memastikan kemenangan BN, malah penglibatan aktif di pelbagai peringkat juga terus digerakkan sehinggalah tarikh PRN tiba.”

“Retreat ini juga memberikan ruang bagi para peserta untuk memperkuatkan semangat perpaduan dan kerjasama antara ahli di seluruh negeri, serta memastikan kita terus fokus pada misi utama iaitu kemenangan BN pada PRN nanti.”

Rakyat Sabah dijangka akan membuat keputusan penting dalam PRN yang dijadual diadakan dalam masa terdekat sebelum tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir Oktober tahun ini. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit