INFRA Perkenal Kursus Khas Untuk Usahawan Rumah Inap – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 7 Feb – Institut Kemajuan Desa (INFRA) di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah memperkenalkan kursus khas untuk usahawan rumah inap.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia diadakan untuk menyokong Kepengerusian ASEAN 2025 dan persediaan bagi menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Baru-baru ini, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Inap Desa bersama pihak-pihak berkepentingan, termasuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Mesyuarat ini bertujuan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia, dengan memberi tumpuan kepada pelancongan berasaskan komuniti sejajar dengan persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Sektor inap desa atau homestay berpotensi besar dalam meningkatkan pendapatan serta taraf hidup masyarakat luar bandar. Sehubungan itu, INFRA KKDW telah memperkenalkan kursus khas untuk usahawan homestay dan program TVET homestay bagi menyokong Kepengerusian ASEAN 2025 serta sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat.
Beliau yang juga Presiden UMNO menjelaskan bahawa langkah tersebut amat penting untuk memastikan usahawan desa bersedia mengadaptasi standard kebangsaan dalam pengurusan rumah inap.
“Langkah ini amat penting untuk memastikan usahawan desa bersedia mengadaptasi standard antarabangsa dalam pengurusan homestay, sekaligus meningkatkan daya saing sektor pelancongan desa negara.
“Sebagai satu-satunya Institusi Latihan Awam (ILA) yang ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), INFRA berperanan sebagai Pusat Bertauliah TVET bagi program homestay.
“Dalam masa yang sama, INFRA juga menjadi pusat rujukan utama dengan menawarkan kursus wajib sebagai prasyarat bagi pendaftaran homestay yang sah di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya lagi.
Menurutnya, beliau mahu INFRA terus menjadi peneraju dalam menyediakan modul latihan berimpak tinggi dan terus melahirkan graduan TVET Program Homestay yang berjaya.
“Sebagai Menteri KKDW, saya mahu INFRA terus menjadi peneraju dalam menyediakan modul latihan berimpak tinggi yang bukan sahaja menawarkan kursus, tetapi turut memastikan pembangunan modal insan desa yang berkualiti dan berdaya tahan serta memenuhi keperluan semasa.
“Sehingga kini, INFRA telah melahirkan 295 graduan TVET Program Homestay, manakala 10,094 peserta kursus telah berdaftar di bawah MOTAC sebagai pengusaha Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM).
“Pada tahun ini, INFRA telah merangka pelbagai program bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengusaha homestay, termasuk pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Penyeliaan dan Koordinasi Homestay Tahap 3, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Operasi Homestay Tahap 2, Kursus Pengenalan Homestay, Kursus Asas Homestay dan Kursus Lanjutan Homestay.
“Sehingga kini, INFRA telah melahirkan 295 graduan TVET Program Homestay, manakala 10,094 peserta kursus telah berdaftar di bawah MOTAC sebagai pengusaha Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM),” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut berkeyakinan bahawa dengan pelaksanaan kursus tersebut, INFRA bakal menjadi institusi unggul dalam memacu pembangunan luar bandar.
“Pada tahun ini, INFRA telah merangka pelbagai program bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengusaha homestay, termasuk pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Penyeliaan dan Koordinasi Homestay Tahap 3, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Operasi Homestay Tahap 2, Kursus Pengenalan Homestay, Kursus Asas Homestay dan Kursus Lanjutan Homestay.
“Program-program ini menyasarkan penyertaan seramai 1,000 peserta daripada kalangan usahawan desa yang ingin memperkukuh daya saing dalam industri pelancongan.
“Saya yakin, dengan pelaksanaan kursus berkaitan homestay ini, INFRA berada pada kedudukan yang kukuh untuk menjadi institusi unggul dalam memacu pembangunan desa di Malaysia. Langkah ini selari dengan misi dan visi KKDW dalam memastikan masyarakat desa terus maju, berdaya saing dan berdaya tahan dalam era globalisasi,” katanya lagi. – UMNO Online