Manfaatkan Persidangan Parlimen, Bahas Dasar Berkualiti Untuk Pembangunan Negara – Dr Azhar

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Azhar Ahmad berharap persidangan Parlimen dimanfaat sepenuhnya dalam membahaskan hal-hal berkaitan rakyat.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas berkata ini kerana perbahasan di Parlimen adalah satu kaedah penting bagi menghasilkan suatu dasar berkualiti untuk pembangunan negara dalam pelbagai sektor.

“Dewan Rakyat bukan tempat kita berbalas sama sendiri sebaliknya medan mengeluarkan idea-idea yang baik untuk membantu rakyat dalam keadaan mereka memerlukan kita.

“Jadikan Parlimen itu tempat berbahas untuk kepentingan rakyat, apabila kerajaan dan pembangkang membawa kepentingan nasional seterusnya akan membawa kemenangan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Dr Azhar berkata titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada pembukaan Parlimen Isnin lalu yang mengingatkan semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara bahawa Parlimen bukanlah tempat untuk bertegang urat, memaki-hamun atau menabur fitnah perlu dijadikan panduan.

Katanya ini kerana kepentingan politik perlu diketepikan seperti yang berlaku pada persidangan lepas yang perlu diambil sebagai pengajaran.

“Kebanyakan yang sebelum ini kita tengok di Dewan Rakyat pertengkaran, maki hamun bukan bertujuan untuk bantu rakyat sebaliknya hanya kepentingan diri, parti.

“Cukup-cukuplah rakyat telah membuat keputusan… pilihan raya umum (PRU) dah lepas jadi tunggu PRU yang akan datang kita buka gelangang balik kerana rakyat yang memberi kuasa itu,” ujar beliau.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 18 hari dengan menyaksikan Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja selama tujuh hari bermula Isnin baru-baru ini dan diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Feb.

Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 3 Mac. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit