Henti Polemik, Bersaing Buat Kenyataan Berkenaan Garis Panduan Untuk Orang Islam – Dr Asyraf
KUALA LUMPUR, 7 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap semua pihak untuk menghormati dan terbuka dengan garis panduan penglibatan orang Islam bagi majlis sambutan perayaan atau upacara kematian orang bukan Islam yang sedang dibangunkan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Menurut beliau, garis panduan ini penting kepada umat Islam sebagai suatu asas yang menjadi parameter dan pedoman bagi memastikan adanya pencerahan mengenai batasan tertentu dalam apa jua bentuk amalan yang melibatkan perayaan dan ritual agama agar tidak sampai menjejaskan akidah yang menjadi teras keimanan seseorang.
“Tiada masalah menghadiri upacara perayaan sesuatu agama sebagai manifestasi keharmonian hidup antara agama yang diamalkan selama ini.
“Namun, batasan menyertai ibadah ritual tertentu yang boleh menjejaskan akidah seseorang perlu dijadikan panduan untuk umat Islam.
“Garis panduan ini juga harus dilihat sebagai suatu yang positif untuk bukan Islam supaya sensitiviti umat Islam terhadap satu-satu amalan ritual yang boleh menjejaskan aqidah dapat difahami dan dihormati,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Menurut beliau garis panduan ini bukan bersifat peraturan atau perundangan kerana ia hanya sebagai pedoman dan pencerahan ilmu yang bermanfaat buat semua untuk memahami batasan dan sempadan dalam menyertai upacara perayaan dan ibadah agama lain.
Tegas Dr Asyraf lagi, isu ini tidak perlu terus dipolemikkan kerana setiap warga Malaysia mesti meneruskan budaya hormat-menghormati dan bertoleransi dalam mengamalkan agama dan budaya masing-masing yang selama ini menjadi teras kekuatan dan keunikan Malaysia sebagai negara majmuk.
“Buat pemimpin-pemimpin parti politik pula terutamanya dalam kalangan bukan Islam termasuklah Dap, MCA dan Gerakan yang tampak begitu teruja untuk bersaing dalam mengeluarkan kenyataan, nasihat saya serahkanlah hal ehwal agama seperti ini kepada pihak berautoriti untuk membahaskannya secara ilmiah.
“Akhirnya, semua harus hormati kedudukan Majlis Raja-Raja Melayu yang berkuasa mutlak dalam menentukan apa jua hal yang berkaitan dengan hal-ehwal dan kepentingan Agama Islam,” ujar beliau. – UMNO Online