Program Bual Bicara Psikologi dan Literasi Kesihatan Berjalan Lancar – Dr Masliha

HULU LANGAT, 12 Feb – Program Bual Bicara Psikologi dan Literasi Kesihatan Bahagian Hulu Langat (siri ketiga) telah berjaya dianjurkan dengan kehadiran lebih 100 peserta dari DUN Semenyih dan DUN Dusun Tua, kata Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional, Dr Masliha Harun.

Menurutnya, majlis ini telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abdul Aziz yang juga Penyelaras DUN Semenyih, bersama isteri beliau, Datin Norsiah Ismail yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Kasih Selangor.

“Dalam program ini kita berkongsi pelbagai isu dan masalah kesihatan mental serta cara mengurus stress yang baik di kalangan para wanita. Dengan kehadiran lebih 100 orang peserta daripada DUN Semenyih dan DUN Dusun Tua yang diketuai oleh Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Langat iaitu Wan Zulaika Anuar serta kepimpinan beliau.

“Ujian Saringan Minda Sihat (Depression Anxiety Stress Scales) juga telah dilakukan bersama peserta dan Alhamdulillah… semua keputusan saringan normal dan jika ada yang merisaukan insya-Allah, kita akan pastikan mereka akan mendapat bantuan yang terbaik.

“Keputusan tersebut menunjukkan semua berada dalam keadaan baik dan bagi mereka yang memerlukan perhatian lanjut, pihak penganjur akan memastikan mereka mendapat bantuan selanjutnya,” katanya.

Turut hadir Ketua Wanita UMNO Negeri Selangor, Datuk Halimaton Saadiah Bohan yang telah menyampaikan amanat kepada pemimpin wanita setempat bagi menghadapi cabaran masa hadapan.

Mengulas lanjut, Dr Masliha yang juga Exco Wanita UMNO menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat dan juga panelis pasukan JiwaDamai yang berkongsi ilmu dalam menangani isu kesihatan mental.

“Terima kasih dan tahniah kepada barisan panelis dari team JiwaDamai Farah (Aktivis Kesihatan), Sofiah (Clinical Psychologist) dan team Pendidikan dan Kesihatan Sekretariat Wanita Professional (SWP) yang telah menjayakan program ini.

“Semoga ilmu yang dikongsi ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan membantu dalam meningkatkan kesejahteraan kesihatan mental wanita di kawasan ini,” katanya lagi.

Ujarnya, semoga program ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada peserta dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental dalam kehidupan seharian. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit