UMNO Selangor Bidas Cubaan Pas Campuri Urusan Dalaman Parti

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Penerangan UMNO Selangor membidas cubaan Pas mencampuri urusan dalaman UMNO dengan meletakkan syarat perubahan kepimpinan sebagai prasyarat kepada penyatuan politik Melayu-Islam.

Ketuanya, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain menegaskan UMNO sebagai parti bermaruah tidak akan tunduk kepada tekanan politik bersifat oportunis kerana parti ini bukan alat yang boleh diatur sesuka hati oleh mana-mana pihak.

“Pas mempunyai sejarah panjang sebagai rakan politik yang tidak konsisten. Pas pernah berada dalam Barisan Nasional (BN), kemudian berpakat dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN), sebelum meninggalkan UMNO dan menyertai Perikatan Nasional (PN).

“Kini mereka cuba kembali mendekati UMNO tetapi dengan syarat yang jelas berniat untuk melemahkan kepimpinan parti. Adakah ini tanda keikhlasan? Atau sekadar muslihat politik?” katanya menerusi satu kenyataan media.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi berkata ini kerana Pas sejak penubuhannya telah melalui pelbagai episod, mencerminkan ketidakstabilan dan tidak konsisten mereka dalam kerjasama politik malah bertindak khianat terhadap rakan sekutunya yang sering kali menjadi sorotan utama.

Katanya lagi, selain pengkhianatan terhadap UMNO, Pas yang pernah menjalin kerjasama dengan Dap dan PKR dalam Pakatan Rakyat juga pada awalnya berjanji untuk memperjuangkan agenda bersama namun bertindak menuduh rakan-rakan politiknya dan tidak jujur.

Datuk Dr Mohd Zaidi berkata ia berbeza dengan pendekatan UMNO yang sentiasa konsisten dalam membangunkan negara serta istiqamah dalam memperjuangkan kepentingan Melayu-Islam melalui Kerajaan Perpaduan.

“Kami tidak bermain politik sentimen agama dan kaum semata-mata, sebaliknya menumpukan kepada pembangunan ekonomi rakyat, tadbir urus yang baik dan professional serta membina kestabilan politik untuk jangka masa Panjang.

“Tiada sebab untuk menolak kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Sebagai Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri beliau telah berjaya mengekalkan UMNO sebagai pemain politik utama negara. Beliau telah membuktikan kepimpinan yang matang dan berjaya memastikan suara Melayu-Islam tetap relevan dalam pentadbiran kerajaan. UMNO tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba menggugat kepimpinan parti ini.

“Motif sebenar Pas adalah untuk melemahkan UMNO, bukan untuk bekerjasama. Kami ingin mengingatkan ahli-ahli UMNO di seluruh negara supaya tidak terpedaya dengan muslihat Pas.

“UMNO Negeri Selangor menegaskan bahawa kami tetap setia kepada perjuangan UMNO yang berprinsip, berpaksikan kestabilan dan pembangunan negara. UMNO akan terus mara ke hadapan, tanpa tunduk kepada permainan politik yang merugikan bangsa dan negara,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit