Seluruh UMNO Bahagian Perlu Persiap Strategi Hadapi Cabaran 25 Bulan Mendatang – Azalina
MARAN, 6 Feb – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said menyeru seluruh UMNO Bahagian termasuk Pergerakan sayap-sayap mempersiapkan strategi parti 25 bulan akan datang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Persiapan tersebut jelas beliau lagi termasuklah menguasai teknologi dan platform semua media sosial untuk berhadapan dengan gerakan kempen digital dan AI (kecerdasan pembuatan) nanti.
Untuk itu, Azalina yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) menyeru semua pihak di pelbagai peringkat agar berganding bahu dan bekerja sebaik mungkin untuk mencapai kemenangan pada PRU akan datang.
Jelasnya, ahli dan akar umbi juga perlu memperkukuhkan kesatuan serta kestabilan kepimpinan agar tidak mudah dipatahkan oleh naratif pihak lawan.
“Semua ahli dan akar umbi perlu mengambil inisiatif untuk menguasai pelbagai medium media sosial yang dilihat semakin mempengaruhi para pengundi.
“Bukan itu sahaja kita sebagai ahli parti mesti terus mendekati anak muda bagi menarik sokongan serta undi mereka dengan mengadakan pelbagai program”, ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Turun Padang yang diadakan di Bahagian UMNO Maran di sini pada Rabu.
Program Turun Padang tersebut diadakan untuk memberi penerangan dan pencerahan kepada akar umbi berkenaan situasi semasa dan persiapan parti bagi berhadapan pilihan raya akan datang.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Jisshaelyz Hamzah, Naib Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Mukaram Shah Zainuddin, Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran merangkap Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari dan seluruh kepimpinan empat peringkat Penerangan UMNO Bahagian-bahagian di Pahang. – UMNO Online