Rakyat Sabah Perlu Kembalikan BN Demi Kestabilan Dan Kemajuan – Suhaimi Nasir
KOTA KINABALU, 5 Feb – Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menyeru rakyat Sabah untuk mengembalikan Barisan Nasional (BN) sebagai tampuk pemerintahan di negeri terbabit demi kestabilan politik dan kemajuan ekonomi yang lebih mapan.
Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Libaran, BN telah terbukti berjaya membangunkan Negeri Sabah serta memastikan kestabilan politik yang kukuh.
“Apabila kestabilan politik berjaya maka, sektor ekonomi negeri dapat berkembang seterusnya memberi kepercayaan kepada pelabur untuk berniaga di Negeri Sabah.
“Sekaligus ia dapat merancakkan ekonomi yang sudah pasti peluang-peluang pekerjaan, kemajuan infrastruktur dan sifar kadar kemiskinan dapat dicapai,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau turut menekankan bahawa pentadbiran BN sebelum ini telah membawa banyak perubahan positif kepada Sabah.
Menerusi hantaran terbabit, beliau turut menyertakan klip video berdurasi hampir dua minit yang memuatkan perbezaan ketara antara Sarawak dan Sabah.
“Ini fakta bukan auta,” katanya yang merujuk kepada kandungan dalam klip video terbabit.
Antaranya ialah kerana Sarawak mempunyai pentadbiran politik yang konsisten dan BN mentadbir negeri terbabit sejak 1974 sebelum menubuhkan gabungan sendiri yang hari ini dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Ini berbeza dengan Sabah yang mempunyai laluan politik lebih kompleks apabila peralihan kuasa berlaku antara beberapa parti dan BN hanya mentadbir Sabah pada tahun 1994 sebelum ditumbangkan oleh Warisan pada 2018.
Menerusi klip video terbabit diterangkan walaupun GPS menggantikan BN namun parti-parti kompenannya adalah dari BN sementara di Sabah ada lima parti selain BN yang pernah memegang tampuk kuasanya dan ini antara punca yang menyebabkan pertumbuhan ekonomi Sabah jauh tertinggal berbanding Sarawak.
Rakyat Sabah dijangka akan membuat keputusan penting dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat sebelum tempohnya berakhir Oktober tahun ini. – UMNO Online