MARA Gerakkan Agenda Transformasi Pendidikan dan Keusahawanan
KUALA LUMPUR, 5 Feb – Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus komited dalam memperkasakan pendidikan dan keusahawanan melalui agenda transformasi yang melibatkan 344 institusi pendidikan di bawah MARA, dikenali sebagai Institusi Pendidikan MARA (IPMA).
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, berkata keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Majlis MARA yang dipengerusikannya baru-baru ini.
Jelasnya, antara institusi terlibat ialah GiatMARA, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Institut Kemahiran MARA, Kolej MARA, Kolej Profesional MARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Kolej Poly-Tech MARA, German-Malaysia Institute, Malaysia-Japan Industrial Institute, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech MARA (UPTM).
Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO menegaskan bahawa kurikulum serta modul latihan di IPMA akan sentiasa diperkemas bagi memastikan ia relevan dengan keperluan semasa dan industri.
“Kualiti pendidikan MARA juga amat terkait dengan kualiti pendidik dan prasarana yang disediakan.
“Fasiliti dan prasarana IPMA akan terus diberi keutamaan untuk ditambah baik bagi memberikan keselesaan terbaik kepada para pelajar,” katanya.
Dalam usaha memastikan pelaksanaan agenda ini berjalan lancar, Dr. Asyraf Wajdi memaklumkan bahawa aktiviti ‘Terjah’ akan terus dilakukan.
“Insya-Allah untuk itu juga, aktiviti ‘Terjah’ akan terus saya lakukan dari semasa ke semasa apabila saya turun ke pelbagai program di negeri-negeri bagi memastikan setiap sen wang rakyat yang diamanahkan dimanfaatkan sebaiknya,” katanya lagi menerusi hantaran dalam laman Facebooknya, hari ini. – UMNO Online