UMNO Ranau Perkukuh Gerak Kerja Demi Perjuangan Parti dan Pembangunan Masyarakat

RANAU, 5 Feb – UMNO Bahagian Ranau terus komited dalam memastikan kesinambungan perjuangan parti dengan merangka serta memperkemaskan gerak kerja yang lebih tersusun dan berkesan.

Ketua UMNO Bahagian Ranau, Datuk Junaidi Sahat yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bahagian UMNO baru-baru ini memaklumkan bahawa langkah ini diambil bagi memastikan UMNO kekal relevan dalam memperjuangkan hak dan kebajikan masyarakat.

Jelasnya, mesyuarat terbabir menjadi platform penting dalam membincangkan hala tuju serta strategi parti untuk terus mendekati rakyat dan menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi masyarakat setempat.

Menurut Junaidi, UMNO Ranau sentiasa berusaha untuk menjadi suara rakyat dan memastikan setiap aspirasi serta keperluan masyarakat diberi perhatian sewajarnya.

“Kami sentiasa komited untuk memperjuangkan hak rakyat, terutamanya dalam aspek kebajikan, ekonomi, pendidikan, dan pembangunan infrastruktur di daerah ini,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan penyatuan dalam parti serta memperkukuh hubungan dengan akar umbi.

Katanya, hanya dengan perpaduan yang kukuh, UMNO akan dapat terus memainkan peranan sebagai wadah perjuangan rakyat dan membawa manfaat yang lebih besar kepada masyarakat.

Dalam mesyuarat tersebut, beberapa perkara utama telah dibincangkan termasuk langkah memperkasakan program turun padang bagi mendekati rakyat, inisiatif membantu golongan yang memerlukan, serta merangka strategi bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti kepada masyarakat setempat.

Sebagai langkah proaktif, katanya, UMNO Ranau merancang untuk menganjurkan lebih banyak program kemasyarakatan serta inisiatif yang dapat memberikan manfaat secara langsung kepada penduduk.

Dalam kesempatan ini, Junaidi sekali lagi menegaskan komitmen UMNO Ranau dalam memperkukuh peranan parti sebagai platform perjuangan rakyat.

“Dengan perancangan yang rapi dan usaha berterusan, UMNO Ranau yakin dapat terus menyumbang kepada kesejahteraan dan pembangunan masyarakat di daerah ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit