YAKIN Teruskan Program Infaq Ramadan Dan Syawal, Sasar 2,000 Penerima – Syed Ibrahim

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Yayasan Kebajikan Islam Nasional (YAKIN) meneruskan program tahunan Infaq Ramadan dan Syawal bagi membantu golongan asnaf, anak yatim serta pusat tahfiz.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader, berkata program itu bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya telah dilaksanakan sejak 14 tahun lalu sebagai inisiatif kebajikan berterusan yayasan tersebut.

“Program infaq Ramadan dan syawal ini akan diberikan sebanyak 2,000 buah keluarga, golongan asnaf dan anak yatim serta pusat tahfiz malah Yayasan akan melaksanakannya. Kita akan melihat kutipan tersebut dan akan terus disalurkan kepada yang berkenaan.

“Setiap tahun YAKIN terus membantu masyakat Islam ini terutamanya pada bulan Ramadan dan kami memohon pada penderma agar terus menderma kepada YAKIN. Semuanya itu tertakluk kepada jumlah yang akan didapati. Sudah pasti kutipan yang dapat akan terus disampaikan pada asnaf.

“Saya tidak mahu hampakan penderma yang memberikan sumbangan tersebut justeru melalui akaun YAKIN amat telus. Kita tahu berapa jumlah yang disumbangkan, agihan kepada yang memerlukan cukup mudah dan dengan cara ini ia amat selamat,” katanya pada media selepas Majlis Pelancaran Infaq Ramadan Syawal 1446 Hijrah /2025 Masehi, di sini, hari ini.

Turut hadir Penaung Program Infaq Ramadan, Tariq Jaffri Mohamad Akbar; Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Kemajuan Islam Nasional (YAKIN), Datuk Abdul Wahith Sharafuddin dan  Pengarah Urusan FF Tech Solution, Nor Fadhli Mohamad serta kepimpinan KIMMA.

Beliau yang juga Presiden KIMMA Kebangsaan berkata, Program Infaq Ramadan dan Syawal ini adalah untuk mempromosikan YAKIN sebagai ejen kutipan zakat yang sah serta memudahkan umat Islam untuk membuat bayaran.

“Ini bukannya program baharu, setiap tahun yayasan ini membantu masyarakat tetapi kebiasaanya tidak mencukupi. Melalui dana ini boleh menderma ke akaun YAKIN melalui Maybank Berhad, Akaun 564593224267 dan penderma boleh melalui QR code, transfer atau cek dan kami tidak menerima tunai.

“Kita akan mengumpul dana yang besar dan boleh menolong asnaf-asnaf yang amat memerlukan bantuan ini. Kami sudah ada data yang diperoleh dan ini amat mudah untuk pihak YAKIN membuat kiraan dan sebagainya.

“Saya akan pastikan setiap dana yang didermakan ini akan dapat digunakan dengan tujuan yang murni ini. Ada juga asnaf-asnaf diberikan seperti barang-barang makanan, wang tunai malah pusat-pusat tahfiz akan turut dibantu,” katanya lagi.

Beliau juga memohon kerjasama daripada syarikat-syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu untuk terus menyalurkan sumbangan kepada YAKIN. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit