‘Bila Gerakan Buat Perangai, PPBM/Pas Jadi Bisu’ – Abdul Halim
KUALA LUMPUR, 5 Feb – Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Abdul Halim Suleiman menempelak PPBM/Pas yang membisu apabila Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong yang mengkritik Dap kerana tidak menentang dasar Islam negara.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negera berkata ini kerana ketika kerjasama UMNO dan Dap dalam Kerajaan Perpaduan, PPBM/Pas membawa naratif UMNO menjual maruah Melayu.
“Habis riuh satu Malaya dengan propaganda PPBM/Pas. Kononnya UMNO dah jual maruah Melayu. Kononnya Islam terancam. Kononnya Dap akan hapuskan hak bumiputera tapi sekarang ni bila Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong buat kenyataan menyerang Dap kerana ‘diam saja’ dalam isu hak istimewa Bumiputera dan dasar-dasar negara Islam dalam Kerajaan Perpaduan.
“Bukan ke bila Gerakan bersama PPBM/Pas dalam Perikatan Nasional (PN), mereka macam setuju dengan agenda perjuangan dua parti itu yang menjulang Melayu dan Islam? Tapi tiba-tiba hari ini mereka kecam Dap sebab tak lagi usik isu Perkara 153 dalam Perlembagaan.
“Macam senang nak baca saja game Gerakan ni. Mereka nak hasut sentimen kaum supaya orang Cina marah dengan status quo dalam Perlembagaan,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Menurut Abdul Halim ia berbeza dengan pendekatan dilakukan UMNO ketika MCA membawa isu perkauman yang mendapat reaksi keras daripada pemimpin UMNO yang sama sekali tidak membenarkan parti sekutu menyentuh isu berkenaan.
“Kita terus hentam cukup-cukup. Kita tak mahu ada pihak sama ada parti sekutu atau parti seteru yang cuba gunakan sentimen perkauman dan Islam ini sebagai modal untuk berpolitik. Sampailah MCA terpaksa minta maaf dan tarik balik kenyataan mereka di Facebook,” tegasnya.
Beliau dalam pada itu menyifatkan PN sebagai pakatan politik yang penuh dengan sandiwara dan berpura-pura kononnya pejuang rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama namun masih lagi mempunyai sikap rasisi yang menebal.
Malah katanya, PPBM/Pas kononnya mahu membela Melayu dan Islam namun sanggup bersengkongkol dengan parti yang langsung tak hormat Perkara 153 dalam Perlembagaan.
“Dulu UMNO dikatakan jual Melayu’ sebab bekerjasama dengan Dap, tapi sekarang PN sendiri ada Gerakan yang lebih teruk mainkan isu perkauman. Hakikatnya, PPBM/Pas tak ada prinsip.
“Mereka hanya tunggang isu kaum dan agama bila ia menguntungkan mereka. Bila Gerakan dalam PN, mereka pura-pura tak nampak. Bila UMNO bersama Dap untuk kestabilan negara, mereka meroyan tak tentu hala.
“PN ini hanya pakatan sementara, penuh dengan kepura-puraan. Gerakan dengan agenda rasisnya. PPBM/Pas dengan kepalsuan perjuangan mereka. Tapi rakyat tak bodoh. Kita nampak semua ni. Dan kita tahu siapa sebenar-benar talam dua muka dalam politik Malaysia,” ujar beliau. – UMNO Online