Sedia Kerjasama Dengan UMNO… Kenyataan Pas Hanya Mahu Balas Dendam – Zawawi

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Kenyataan Pas yang menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan UMNO sekiranya berlaku pertukaran pimpinan adalah bermotifkan balas dendam.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman berkata, UMNO tidak pernah memperdagangkan bangsa dan agama untuk memecahbelahkan rakyat seperti yang dilakukan oleh Pas.

“Kenyataan Hashim Jasin itu adalah bermotifkan balas dendam sebenarnya sebab sebelum ini pun Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dah kata bahawa UMNO dengan Pas ini boleh bersama tetapi tak boleh Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden.

“Kenyataan ini telah dikeluarkan oleh Datuk Seri Zahid dahulu dan kenyataan baharu hari ini adalah mungkin kerana nak balas dendam. Takkan rakyat Malaysia lupa kenyataan Datuk Zahid. Balas dendam sebab apa, sebab tidak mahu Datuk Zahid ada.

“Sebenarnya Pas dengan UMNO ini adalah daripada kalangan orang Melayu. Semua orang Melayu kena faham bahawa UMNO tidak pernah pun memperdagangkan bangsa dan agama seperti yang dilakukan oleh Pas,” katanya.

Menurutnya, Pas membawa pemikiran ekstrem sehingga bertindak melabelkan UMNO sebagai kafir dan kepimpinan Tun Dr Mahathir sebagai taghut serta perlu ditentang.

“UMNO tidak ekstrem seperti Pas. Kita menolak pemikiran ekstrem yang boleh memecahbelahkan. Dari dulu lagi Pas ekstrem dengan menentangkan kepimpinan Tun Dr Mahathir, meletakkan kepimpinan taghut sehingga melabelkan UMNO ini kafir.

“Tapi kini Pas ‘rujuk’ kepada kepada Tun Mahathir dengan memberi tempat sebagai penasihat parti. Pas ini boleh berubah pada bila-bila masa asalkan ia memberikan keuntungan kepada mereka tidak mengira sama ada ianya menggadai prinsip ataupun fatwa dikeluarkan.

“Sebagai contoh, tiba-tiba boleh ‘berkawan’ dengan UMNO walaupun dulu pernah melabelkan kafir. Dulu mereka meletakkan Tun Mahathir sebagai pemimpin yang taghut dan perlu ditentang sehingga berlaku peristiwa Memali,” katanya.

Tegasnya, tindakan Pas ‘menunggang’ kes mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga membuktikan bahawa mereka sanggup menggadaikan maruah untuk menarik sokongan.

“Akhir-akhir ini kalau kita lihat apa yang berlaku kepada Bosku. Kalau dulu Pas dengan Ketua Penerangan mereka mengumpamakan Puteri Gunung Ledang, hati nyamuk dan sebagainya. Tetapi tiba-tiba seperti mempertahankan Bosku sedangkan apa yang dia buat itu adalah kerana melihat suasana, sehingga menggadaikan maruah.

“UMNO parti bermaruah, mempunyai pemikiran yang jumud. Keputusannya dibuat daripada kepimpinan atasan, bukan daripada seorang Presiden sahaja. UMNO tidak pernah mengeluarkan fatwa yang boleh memecahbelahkan umat Islam dalam negara kita,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyifatkan Pas tidak serius untuk memperjuangkan hukum hudud dan ia digunakan untuk meraih laba politik.

“Dulu Pas kata kalau dia mentadbir di Putrajaya, sebelum Subuh lagi hudud akan dilaksanakan. Tetapi semasa mentadbir bersama Perikatan Nasional (PN), tidak pernah pun dibawa ke Parlimen isu tersebut.

“Ini menunjukkan mereka tidak betul-betul fokus untuk membawa hukum hudud ini. Bermakna, ini adalah hudud politik… hanya untuk mendapat sokongan daripada orang Islam dan ianya menjadi modal politik sahaja.

“Sedangkan masa dengan Pakatan Rakyat dulu mereka meletakkan kebajikan, tidak meletakkan hudud di hadapan. Tetapi, ia boleh berubah bila-bila masa dan secepat mungkin. Sikap tersebut begitu ketara di dalam Pas,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan bahawa Hashim Jasin memberi bayangan bahawa kerjasama antara Pas dan UMNO boleh dihidupkan kembali sekiranya Presiden sekarang, Ahmad Zahid tidak lagi menerajui kepimpinan parti.

Menurutnya, Pas sentiasa bersikap terbuka untuk bekerjasama semula dengan UMNO demi menyatukan umat Islam di Malaysia. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit