UMNO Tekankan Kerjasama Semua Peringkat, Sayap Demi Kekuatan Parti – Mohamed Khaled
KUALA LUMPUR, 3 Feb – UMNO memberi penekanan kepada kerjasama antara semua peringkat dan sayap untuk memastikan kelangsungan serta kekuatan parti pada masa akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa beliau telah bertemu dengan para pemimpin UMNO Negeri Perak pada Ahad.
“Berada di Bangunan UMNO Negeri Perak untuk pertemuan bersama kepimpinan UMNO di sini, selaku Pengerusi Biro Keahlian dan Perlembagaan UMNO. Pertemuan ini sejajar usaha biro untuk pelaksanaan libat urus, dari negeri ke negeri.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, kerana turut hadir, sebagai sokongan kepada usaha ini.
“Fokus utama perbincangan berkait cadangan meningkatkan umur keahlian Pergerakan Puteri UMNO kepada 40 tahun dan kaedah pemilihan pucuk pimpinan UMNO. Semua bahagian telah diminta untuk mengadakan perbincangan dan memberikan pandangan melalui UMNO Negeri masing-masing,” katanya.
Terdahulu, beliau turut mengadakan pertemuan bersama pemimpin UMNO Negeri Pulau Pinang dan beranggapan bahawa input akar umbi amat penting untuk memastikan segala ketetapan parti memenuhi aspirasi semua pihak.
“Berpeluang mengadakan pertemuan bersama kepimpinan UMNO Negeri Pulau Pinang pada Sabtu. Pertemuan ini juga atas kapasiti saya sebagai Pengerusi Biro Perlembagaan dan Keahlian UMNO Malaysia. Ruang ini telah saya gunakan untuk membincangkan, antara lain, tentang dua perkara utama.
“Pertama, cadangan meningkatkan umur keahlian Puteri UMNO kepada 40 tahun. Kedua, cadangan kaedah pemilihan pucuk pimpinan UMNO. Cadangan-cadangan ini dibawa ke peringkat Negeri untuk dibincangkan di peringkat Bahagian masing-masing.
“Parti memberi penekanan kepada kerjasama antara semua peringkat dan sayap untuk memastikan kelangsungan dan kekuatan UMNO. Input daripada semua Bahagian dan Negeri cukup penting dalam memastikan sebarang ketetapan yang dibuat oleh parti benar-benar memenuhi kepentingan dan aspirasi semua pihak, akhirnya memperkukuh struktur parti,” katanya. – UMNO Online