Denggi Bukan Hanya Isu Kesihatan Tetapi Tanggungjawab Bersama – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat untuk sentiasa berwaspada dengan ancaman demam denggi.

Menurut beliau, meskipun ia mencatatkan penurunan berbanding tahun lepas namun langkah berjaga-jaga perlu diaplikasi.

“Walaupun kes demam denggi menurun dengan signifikan sehingga 61.7 peratus pada awal tahun ini berbanding tahun lalu, kita masih perlu berwaspada.

“Denggi bukan sahaja isu kesihatan tetapi ianya adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian menerusi hantaran di Facebooknya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi hari ini.

Beliau dalam pada itu berkata langkah-langkah inovatif seperti pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia dan teknologi terkini akan terus diperkasa, di samping memperluaskan inisiatif sukarelawan seperti MyCHAMPION COMBI di seluruh negara.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu berganding bahu untuk memastikan persekitaran kekal bersih dan bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes. Tiada Aedes, tiada denggi,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit