Onn Hafiz Gunakan Ruang Kongsi Perkembangan Terbaru Bersama Anak Johor Universiti Madinah
KUALA LUMPIR, 28 Jan – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bukan sahaja berkongsi perkembangan terbaru di Negeri Johor bersama anak-anak negeri berkenaan yang menuntut di Universiti Madinah, malah turut berpeluang menyantuni pelajar terbabit di sana.
Menerusi perkongsian di Facebooknya, Onn Hafiz melihat peluang untuk bertemu serta menyantuni anak-anak Johor yang sedang menuntut ilmu di Universiti Madinah sekurang-kurangnya dapat mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain.
“Syukur Alhamdulillah.Saya berpeluang untuk bertemu dengan anak-anak Johor yang sedang menuntut ilmu di Universiti Madinah. Sesi ini bertujuan untuk bertanya khabar dan mengeratkan hubungan antara Kerajaan Negeri Johor dengan Bangsa Johor di Madinah. Mereka merupakan contoh cemerlang generasi muda yang berusaha menuntut ilmu untuk membawa kemajuan kepada negeri Johor dan negara Malaysia.
“Dalam pertemuan ini, saya juga berkongsi perkembangan terbaru di Johor, serta pelbagai usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk memajukan negeri Johor. Saya juga mengambil peluang untuk mendengar pandangan serta pengalaman mereka sepanjang menuntut ilmu di bumi Madinah, serta bagaimana mereka berhasrat untuk memberi sumbangan kepada pembangunan Johor apabila kembali ke tanah air selepas tamat pengajian,” katanya.
Beliau seterusnya berharap golongan berkenaan terus mencapai kejayaan yang diimpikan sekaligus melakar kejayaan untuk diri, keluarga dan negeri Johor pada masa akan datang.
“Saya berdoa agar anak-anak Johor ini terus berjaya dan mengharumkan nama negeri Johor di persada antarabangsa. Semoga ilmu yang mereka peroleh di Madinah menjadi bekal yang bermanfaat dan memberi impak positif kepada pembangunan Johor, dalam menjadikannya sebuah negeri yang lebih maju menjelang tahun 2030. Insya-Allah.
“Turut hadir, Datuk Haji Ahmad Faisal Mohamed, Timbalan Mufti Johor, Tuan Roslan Sharif, Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah dan Tuan Muhammad Hijaz Mohd Ramli, Kaunselor Kedutaan Malaysia di Riyadh,” ujarnya. – UMNO Online