Transformasi Landskap Telekomunikasi Melalui MOCN 6 Hala – Saiful Yazan
KUALA LUMPUR, 28 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman berpandangan projek Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) 4G 6 Hala berupaya membawa transformasi kepada landskap telekomunikasi.
Beliau berkata melalui ini pembangunan komunikasi dan kesalinghubungan internet akan terus dipergiat melalui garis panduan ini.
“Supaya menjadi sumber utama rujukan para industri komunikasi bagi mengoptimumkan liputan di kawasan aduan atau kurang mendapat liputan yang baik.
“Majlis ini diadakan susulan kejayaan pembangunan teknikal dan kejayaan kolaborasi Industri di lima tapak projek rintis 6 Hala MOCN yang telah siap beroperasi pada tahun 2024.
“Khususnya melibatkan dua tapak di Negeri Sembilan iaitu Kem Pengakap (Seremban) dan Ikon Tengkolok, (Kuala Pilah),” katanya pada hantaran di Facebook bagi berkongsi kehadirannya ke Majlis Pelancaran Garis Panduan Perkongsian Rangkaian dan Infrastruktur MOCN 4G 6 Hala yang berlangsung di Replika Gergasi Tengkolok, Bukit Putus Kuala Pilah.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Turut hadir Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Adnan Abu Hassan dan Ketua Pegawai Hal-Ehwal Negeri MCMC Bukhari Yahya serta syarikat telekomunikasi CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM dan YTL serta Konsortium Jaringan Selangor selaku State Backed Company di Negeri Sembilan. – UMNO Online