Sambutan Tahun Baharu Cina Jadi Simbol Perpaduan Dan Keharmonian Masyarakat – Mohd Rafi
LABUAN, 28 Jan – Sambutan Tahun Baharu Cina mampu menjadi jadi simbol perpaduan dan keharmonian masyarakat, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan telah menggerakkan program Ziarah Kasih sempena sambutan perayaan terbabit dan mengakui bahawa menerusi program sedemikian mencerminkan usaha bagi memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
“Program seperti ini sangat penting untuk mengeratkan silaturahim antara kaum dan bangsa, di samping memastikan perpaduan dan keharmonian terus terpelihara dalam masyarakat,” katanya.
Menerusi program ini, golongan warga emas masyarakat Tiong Hwa di Kampung Sungai Keling menjadi perhatian yang turut disertai ketua kampungnya, Goh Siew Ling, serta kehadiran tarian singa yang menambah suasana kemeriahan turun padang rumah ke rumah ini.
Dalam usaha ini, Mohd Rafi juga telah mengambil inisiatif membantu mendapatkan dana bagi menyiapkan Tokong Sin Ong Kong di Kampung Sungai Keling, di sini.
“Projek ini adalah simbolik kepada perpaduan dan toleransi antara kaum dan agama di kawasan tersebut. Ini membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam merealisasikan projek ini.”
Antara penderma ialah Tan Sri Vincent Tan dengan sumbangan sebanyak RM50,000, Datuk Seri Lee Hock Seng dengan sumbangan sebanyak RM30,000, lagenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei memberikan sumbangan sebanyak RM20,000 menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM100,000.
Sehubungan itu, Mohd Rafi merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam program hari ini, termasuk kepimpinan UMNO Labuan yang sentiasa bersama dalam menjayakan setiap inisiatif masyarakat.
“Saya merakamkan penghargaan kepada para dermawan yang memberikan sokongan besar dalam usaha ini.”
“Semoga usaha ini bukan sahaja menyempurnakan pembinaan tokong tetapi juga memperkukuh hubungan antara kaum dan agama, menjadikan Labuan sebagai contoh harmoni yang membanggakan negara,” tambah beliau.
Jelasnya lagi, program ini memperlihatkan perpaduan yang kukuh di kalangan masyarakat berbilang kaum di Labuan, menjadikan sambutan Tahun Baru Cina 2025 sebagai simbol keharmonian yang perlu terus dipelihara.” – UMNO Online