UMNO Papar Santuni Masyarakat Tionghua Sempena Tahun Baharu Cina 2025
PAPAR, 28 Jan – Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi, bersama barisan Ahli Jawatankuasanya telah turun padang menyantuni masyarakat Tionghua di sekitar Pekan Kinarut bagi menyantuni mereka menjelangnya sambutan Tahun Baharu Cina 2025.
Katanya, program seperti ini merupakan usaha berterusan UMNO Bahagian Papar untuk memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian antara kaum.
“Kami mahu memastikan semua lapisan masyarakat di Papar merasa dihargai dan diraikan, terutama sempena perayaan penting seperti Tahun Baharu Cina. Kehadiran kami di sini adalah lambang persahabatan, perpaduan, dan sokongan kepada semua rakyat,” katanya yang hadir dengan mengedarkan angpau dan limau mandarin kepada masyarakat setempat.
Selain itu Jamal turut mengambil kesempatan untuk bertanya khabar dan mendengar suara hati masyarakat tempatan.
Katanya, ini adalah sejajar dengan hasrat UMNO yang sentiasa komited mendekati rakyat serta memahami keperluan mereka.
“Kami berharap Tahun Baharu ini membawa keberkatan, kesihatan, dan kebahagiaan kepada anda semua. Perpaduan adalah aset terbesar kita, dan kita akan terus berganding bahu dalam membina masyarakat yang harmoni,” ujarnya.
Beliau memaklumkan, seperti tradisi, UMNO Bahagian Papar sentiasa mengutamakan pendekatan inklusif dengan memastikan setiap perayaan diraikan bersama rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Ini termasuk menyokong komuniti setempat melalui pelbagai inisiatif, termasuk program kebajikan dan kemasyarakatan sepanjang masa.
“Melalui komitmen ini, UMNO Bahagian Papar terus membuktikan bahawa semangat kebersamaan dan perpaduan adalah teras kepada keharmonian masyarakat, selaras dengan visi parti untuk memelihara kepentingan rakyat dan negara,” katanya lagi. – UMNO Online