Sekolah Patriotik Bukti Kesungguhan UMNO Meremaja Dan Memperkukuh Parti – Fikhran Hamsi
KUALA LUMPUR, 30 Jan – Penubuhan Sekolah Patriotik UMNO adalah hasil usaha gigih jawatankuasa pengelola, jawatankuasa pemandu, serta lembaga penasihat sekolah yang dilaksana demi usaha kesinambungan parti, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fikhran Hamshi Mohamad Fatmi.
Ujarnya, usaha ini membuktikan kesungguhan UMNO dalam memperkukuh dan memperbaharui parti.
“Ini merupakan satu inisiatif penting oleh UMNO untuk meremaja dan memperkukuhkan asas kepimpinan dikalangan anak muda yang berpotensi besar.
“Sekolah Patriotik UMNO ini merupakan langkah strategik pengkaderan UMNO bagi membuka peluang kepada anak muda yang berminat dalam dunia politik dan memberi keyakinan baharu kepada rakyat terhadap perjuangan parti.
“Pelancaran ini juga menjadi bukti komitmen yang teguh daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan penubuhan sekolah ini,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Mengulas lanjut, Fikhran yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu menjelaskan pelbagai modul diberikan kepada pelajar demi melahirkan kepimpinan yang berkualiti.
“Pelbagai modul telah dirangka untuk para pelajar, termasuk modul kenegaraan, pembangunan kemahiran politik dan analisis isu-isu semasa.
“Modul-modul ini bertujuan melahirkan pemimpin berkualiti yang bukan sahaja mampu mengupas cabaran semasa tetapi juga mentadbir negara dengan cemerlang, demi membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” jelasnya.
Seterusnya kata Fikri lagi sambutan yang diterima untuk kemasukan ke sekolah ini amat memberangsangkan, namun hanya mereka yang benar-benar layak dan berpotensi telah terpilih.
“Para peserta memiliki semangat yang tinggi dan latar belakang pendidikan yang cemerlang, menjadikan mereka calon terbaik untuk dilatih sebagai pemimpin masa depan UMNO,” jelasnya lagi.
Tambah beliau lagi program ini telah melakar sejarah dengan penglibatan 50 anak muda pada kumpulan pertama dan mencerminkan keyakinan tinggi terhadap Sekolah Patriotik UMNO.
“Kumpulan pertama Sekolah Patriotik UMNO ini terdiri daripada 50 orang anak muda berusia antara 16 hingga 30 tahun, merangkumi lelaki dan perempuan dari pelbagai latar belakang.
“Untuk kumpulan kedua kelak, peluang akan dibuka kepada lebih ramai anak muda yang memenuhi kriteria umur 16 hingga 30 tahun, mempunyai latar belakang pendidikan yang baik, serta semangat cinta dan taat setia kepada UMNO,” ujarnya.
Beliau juga berharap semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada kelahiran pemimpin generasi baru yang akan meneruskan perjuangan parti demi agama, bangsa, dan negara, ujarnya lagi. – UMNO Online