UMNO Siswa Kecam Tindakan Biadab Pijak Logo Universiti
KUALA LUMPUR, 27 Jan – UMNO Siswa mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab memijak logo universiti seperti yang tular baru-baru ini.
Menerusi kenyataan, UMNO Siswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyifatkan ia sebagai satu perbuatan tidak bermoral dan melampaui batas.
“Ia mencerminkan kurangnya rasa hormat terhadap institusi pendidikan yang menjadi lambang ilmu serta kebanggaan negara.
“Logo universiti bukan sekadar simbol tetapi melambangkan identiti, kehormatan, dan maruah seluruh warga universiti, termasuk pelajar, alumni dan pensyarah,” katanya memetik kenyataan daripada Ketua Penerangan UMNO Siswa UniMAP.
Kesal dengan perbuatan memijak logo, mereka turut berkata tindakan tersebut bukan sahaja mencemarkan imej institusi tetapi juga menyinggung perasaan semua pihak yang menghargai nilai dan peranan pendidikan tinggi dalam membina negara bangsa.
UMNO Siswa UniMAP turut menegaskan bahawa budaya tidak beradab seperti ini tidak seharusnya wujud dalam kalangan masyarakat, apatah lagi dalam institusi yang menjadi tempat melahirkan generasi pemimpin masa depan.
“Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Semua pihak harus memahami pentingnya menjaga maruah institusi tempat kita bernaung.
“Kami menyeru pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelaku sebagai pengajaran agar kejadian seperti ini tidak berulang.
“Semua pihak mesti bertanggungjawab menjaga maruah dan kehormatan institusi pendidikan di Malaysia,” ujarnya.
Terdahulu, Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang diadakan di Dataran Merdeka, di sini pada Sabtu mencetuskan perdebatan awam.
Penganjuran tersebut antara lain menimbulkan persoalan kerana kain rentang yang memaparkan logo univerisiti-universiti dipijak oleh peserta himpunan tersebut. – UMNO Online