Mohamad Hasan Bersama Rakyat Memperingati Peristiwa Israk Dan Mikraj
KUALA LUMPUR, 27 Jan – Timbalan Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan berbesar hati menyantuni rakyat setempat sempena memperingati peristiwa Israk dan Mikraj.
Beliau memanfaatkan masa tersebut dengan menyertai rakyat bagi mendengar ceramah sempena peristiwa sejarah berkenaan.
“Di majlis ceramah ilmu sempena mengingati peristiwa Israk dan Mikraj di Masjid Imam Haji Kahar, Pekan Rantau.
“Alhamdulillah, majlis ceramah pimpinan Ustaz Jasni dari Pejabat Agama Daerah Seremban, berlangsung dengan sempurna,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mohamad dalam pada itu turut sama merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Masjid Syahrizal dan jawatankuasa yang sama-sama menjayakan majlis tersebut.
Terdahulu menerusi hantaran berbeza, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu juga berkesempatan hadir ke Program Berkhatan Beramai-ramai yang dianjurkan di Masjid Sheikh Haji Ahmad, Bandar Seri Sendayan.
Program tersebut berjalan dengan jayanya, malah rata-rata daripada kanak-kanak yang berkhatan meluahkan keterujaan mereka dengan majlis tersebut yang diadakan untuk meraikan mereka.
“Alhamdulillah, seramai 53 anak-anak dari kawasan sekitar telah mendaftar dalam program sempena musim cuti sekolah ini.
“Tahniah Pengerusi Masjid Sheikh Hj Ahmad, Bandar Sri Sendayan, Ustaz Dr Anwar Muttaqin serta seluruh ahli jawatankuasa dan kariah atas usaha penganjuran program sebegini,” ujar beliau. – UMNO Online