BN Sabah Terus Dekati Masyarakat Pelbagai Kaum- Bung Moktar
KUALA LUMPUR, 27 Jan – Barisan Nasional (BN) Sabah terus mengorak langkah dengan pelbagai program yang diatur dan dilaksanakan pelbagai peringkat dalam usaha mengukuhkan lagi keyakinan masyarakat setempat terhadap perjuangan mereka.
Semalam, kepimpinan BN Sabah yang diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama barisan kepimpinan yang lain mengadakan ‘walkabout’ di Kota Kinabalu.
Bung Moktar menerusi perkongsian di Facebooknya berkata ‘walkabout’ berkenaan yang diadakan di Gaya Street, memberi peluang kepada BN Sabah untuk menyantuni masyarakat setempat sambil beramah mesra dengan pelbagai kelompok masyarakat.
“Program ‘walkabout’ sempena Tahun Baru Cina 2025 berjalan lancar dan sambutan amat memberansangkan, sekaligus mendekatkan BN kepada semua masyarakat Tiong Hua dan masyarakat lain.
“Dengan kepimpinan baru BN Sabah, kami memberi jaminan, sekiranya BN dipilih sebagai kerajaan selepas PRN akan datang, BN memberi jaminan akan sentiasa melindungi dan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh rakyat negeri Sabah tanpa mengira suku kaum, bangsa dan agama,” katanya.
Katanya lagi BN Sabah yakin seluruh masyarakat di negeri itu sedar dengan apa yang berlaku hari ini.
“Saya yakin seluruh masyarakat di Sabah, telah sedar maka pilihan terbaik rakyat Sabah untuk menukar kerajaan yang sedia ada dengan kerajaan baru yang mempunyai komitmen yang tinggi terhadap permasalahan rakyat,” ujarnya. – UMNO Online