Langkah Strategik, Wan Rosdy Harap Sekolah Patriotik UMNO Pastikan Parti Terus Relevan

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Dalam usaha mempersiapkan barisan pemimpin muda yang berkaliber, UMNO hari ini melancarkan Sekolah Patriotik sebagai simbol komitmen parti terhadap perjuangan politik yang inklusif dan berdaya saing.

Menurut Naib Presiden UMNO merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Patriotik UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, inisiatif ini merupakan langkah strategik bagi memastikan UMNO kekal sebagai parti dominan dan mampu melahirkan pemimpin yang relevan dengan cabaran semasa.

“Sekolah ini bukan sekadar program, tetapi satu pelaburan masa depan untuk membina semangat juang dan kepimpinan berasaskan prinsip-prinsip murni parti. Ia juga adalah persediaan untuk mengukuhkan peranan UMNO sebagai tunjang utama negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Pelancaran Sekolah Patriotik UMNO yang disempurnakan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Auditorium UMNO, hari ini.

Ujarnya, Sekolah Patriotik UMNO adalah simbol kebangkitan semula parti untuk memastikan perjuangan terus diwariskan kepada generasi muda.

“Terima kasih YAB Datuk Seri Presiden atas kepercayaan yang diberikan kepada saya serta pasukan saya dalam menguruskan sekolah ini, terutamanya dalam melahirkan kepimpinan UMNO masa hadapan yang akan menggalas tanggungjawab memacu negara ke arah yang lebih maju, aman, makmur serta berdaya saing.

“Semoga usaha ini dapat memberi impak yang positif kepada perjalanan politik UMNO dan negara, serta terus memperkukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

“Kita semua bertanggungjawab untuk bersama-sama memastikan UMNO terus relevan dan berperanan besar dalam memimpin negara ke arah kemajuan dan kestabilan yang berterusan.”

Sekolah Patriotik UMNO bagi kumpulan pertama ini dianggotai seramai 50 pelajar, telah dipilih untuk menggalas tanggungjawab dengan ucapan perasmian Presiden menjadi Kuliyyah Perdana sebagai pengisian pertama program sekolah ini.

Dengan slogan ‘Bestari, Berani, Berjuang’, Wan Rosdy berharap Sekolah Patriotik UMNO menjadi pemangkin kepada kebangkitan selaku parti politik yang relevan dan progresif.

Pelancaran ini turut dihadiri oleh tokoh-tokoh utama parti termasuk Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin, dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said. Pemimpin muda seperti Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, serta kepimpinan di pelbagai peringkat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit