Menjelang Perayaan: Tok Mat Hasan Sampaikan Sumbangan, Santuni Masyarakat Cina
KUALA LUMPUR, 23 Jan – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menyampaikan sumbangan dan menyantuni masyarakat kaum Cina sempena Tahun Baru Cina yang akan disambut pada minggu hadapan.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau telah berkesempatan untuk bertemu dengan warga emas daripada masyarakat Tionghua di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi.
“Pagi tadi pulang ke Rembau untuk menyantuni warga emas daripada masyarakat Tionghua di sekitar DUN Paroi.
“Dapat sampaikan sumbangan angpau kepada warga emas yang berumur 70 tahun ke atas sempena Tahun Baru Cina yang bakal disambut 29 Januari ini,” katanya.
Jelasnya, beliau kemudian terus ke DUN Kota untuk menyampaikan sumbangan kepada masyarakat di sana dan berharap ia dapat memberikan keceriaan buat penerima dalam menyambut perayaan tersebut.
“Dari Paroi terus ke DUN Kota bagi menyampaikan sumbangan sempena Tahun Baru Cina buat masyarakat sekitar Pekan Kota
“Moga sumbangan kecil ini dapat menceriakan penerima dalam menyambut perayaan tahun ini,” katanya.
Untuk rekod, masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baru Cina pada 29 dan 30 Januari ini.
Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, 2025 adalah tahun ular yang mewakili kebijaksanaan, misteri dan kesuburan. Ia juga dianggap sebagai simbol nasib yang baik dan kekayaan. – UMNO Online