Permasalahan Rakyat Jadi keutamaan, UMNO Negeri Sembilan Lantik Penyelaras DUN

KUALA LUMPUR, 23 Jan – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalalauddin Alias berharap penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baru dilantik untuk tiga kawasan di negeri berkenaan dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebaiknya.

Menurut beliau DUN Gemas, Serting dan Bagan Pinang yang diwakili Mohd Firdaus Rustam, Nor Mohd Azhar Shaharudin dan Mohd Najib Isa mendapat kepercayaan penuh pucuk pimpinan untuk melaksanakan tugas maisng-masing.

“Semalam saya menyerahkan surat pelantikan Penyelaras DUN Gemas, Penyelaras DUN Serting dan Penyelaras DUN Bagan Pinang. Syabas dan tahniah diucapkan kepada tiga Penyelaras DUN yang baru dilantik dan telah diberi kepercayaan penuh oleh kepimpinan.

“Saya mempunyai misi dan visi yang besar terhadap ketiga-tiga DUN ini. Tidak dapat nak huraikan di sini, namun pada asasnya, saya ingin sangat melihat rakyat di tiga DUN ini mendapat hak mereka sebaiknya,” katanya menerusi satu kenyataan media kepada UMNO-Online.

Jalaluddin yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO seterusnya menambah permasalahan masyarakat setempat harus menjadi keutamaan dan masing-masing perlu menjadi mata dan telinga rakyat sebagai jambatan atau penghubung sedia ada.

“Keperluan mereka disantuni segera. Permasalahan mereka menjadi keutamaan kita. Dan yang lebih penting rakyat di tiga DUN ini tidak dipinggirkan.

“Pelantikan ini diiringgi oleh doa agar saudara semua dapat menabur khidmat yang terbaik dan cemerlang pada setiap hari, InsyaAllah! Tahniah Sdr Azahar, Sdr Najib dan Sdr Firdaus. Jaga rakyat semahunya,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit