Syed Hussien Santuni Masyarakat Tionghoa Edarkan Bantuan Asas, Buah Limau

KUALA LUMPUR, 23 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah memanfaatkan perayaan Tahun Baru Cina yang bakal disambut masyarakat Tionghoa pada minggu hadapan dengan menyantuni mereka tersebut sambil menyumbangkan bantuan kepada kelompok yang memerlukan.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang bersama kepimpinan MCA iaitu Ketua Bahagian, Gan Lee Shiu untuk menyantuni rumah-rumah kebajikan sekitar kawasan.

“Saya bersama kepimpinan MCA ke Rumah Orang Tua Jalan Haji Manan, Rumah Jagaan Kanak-Kanak (Agape Shelter Kluang) dan Miriam Home Cannosian Sister’s Kluang.

“Kedatangan kami untuk memberikan sumbangan buah limau kepada mereka.

“Semoga dengan sumbangan dapat menceriakan mereka semua sempena menjelang perayaan Tahun Baru Cina yang akan tiba tidak lama lagi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu menerusi perkongsian terdahulu, beliau juga berbesar hati ke Pasar Awam Kluang bagi mengedarkan buah limau kepada orang awam khususnya masyarakat Tionghoa.

Memanfaatkan masa tersebut beliau turut sama beramah mesra bersama mereka di samping bertanya khabar dan bergambar sebagai kenang-kenangan

“Sambutan Tahun Baru Cina yang akan tiba tidak lama lagi. Saya doakan agar perniagaan mereka semua terus sukses.

“Seterusnya saya ke Bilik Gerakan MCA untuk pemberian Bakul Kasih Johor kepada kaum Tiong Hwa.

“Semoga dengan pemberian Bakul Kasih Johor ini dapat meringankan sikit kos perbelanjaan mereka serta dapat mengembirakan mereka sempena Tahun Baru Cina yang akan tiba,” ujar beliau.

Syed Hussien turut sama merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas bantuan dan sumbangan yang diberi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit