PRN Sabah: UMNO Perlu Formula Kemenangan Kukuh, Upaya Tangani Sentimen – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR, 23 Jan – UMNO perlu mendapatkan formula kemenangan yang kukuh dan berupaya untuk menangani sentimen pihak lawan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau telah berkesempatan untuk bertemu dengan kepimpinan UMNO Bahagian Putatan bagi membincangkan strategi menghadapi PRN Sabah.

“Kesempatan semasa berada di Putatan, Sabah, saya telah bertemu dengan kepimpinan UMNO Bahagian Putatan yang dipimpin oleh Jeffery Nor Mohamed.

“Menjelang PRN Sabah yang sudah tidak lama lagi, pertemuan itu tadi memberi fokus kepada perbincangan tentang strategi dan perancangan akan datang UMNO untuk PRN Sabah.

“UMNO perlu mendapatkan formula kemenangan yang kukuh, berkeupayaan menangani sentimen lawan, dan bertindak berasaskan data untuk memahami sikap serta keperluan pengundi, terutamanya dalam kalangan golongan muda,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan merangkap Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, peranan UMNO Bahagian dan kekuatan sayap perlu diperkukuhkan serta turut menyeru semua pihak berganding bahu untuk beroleh kemenangan pada PRN akan datang.

“Peranan UMNO Bahagian dan kekuatan sayap perlu terus diperkukuhkan untuk membolehkan UMNO lebih bersedia menghadapi pilihan raya.

“Semoga UMNO berupaya untuk mengukuh dan memperkuat kedudukannya di Sabah. Marilah sama-sama kita bekerja dengan berkesan dan beroleh kemenangan yang diimpikan pada PRN akan datang,” katanya.

Untuk rekod, PRN Sabah ke-16 telah diadakan pada 26 September 2020 selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 29 Julai 2020. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit