‘Gabungan PPBM Dan Pas Hanya Bersifat Sementara, Demi Capai Kepentingan Politik’
KUALA LUMPUR, 28 Jan – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari menyifatkan gabungan PPBM dan Pas hanya bersifat sementara kerana dibina bagi mencapaikan kepentingan politik mereka.
Menurut beliau, ini kerana sebagai parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) mereka tidak mampu mencapai persetujuan bersama antaranya menamakan calon Perdana Menteri.
Respon Azhari itu diberikan setelah kenyataan daripada beberapa pemimpin daripada PN termasuk Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad baru-baru ini.
“Wan Ahmad Fayhsal ini gila bayang kerana bagi saya PPBM dan Pas ini ibarat kahwin kontrak… saling tidak ada keikhlasan antara satu sama lain sebab sepatutnya tak perlu nak sibuk namakan Perdana Menteri daripada parti mereka.
“Dia pula yang menamakan daripada parti dia walaupun menang paling sedikit dalam pilihan raya, calon daripada Pas pulak timbalan, kenapa tidak presiden? Tidak kena la… jadi saya nampak ada sesuatu benda yang tidak kena dengan mereka ini.
“Sedar diri sikit Wan Ahmad Fayhsal kalau tidak ada Pas…. PPBM tidak ke mana-mana pada pilihan raya. Jadi saya nampak mereka team caca merba mungkin berkawan untuk sementara sahaja untuk pilihan raya semata menunjukkan bahawa konon mereka parti Melayu yang kuat tapi sebenarnya bukanlah kuat kerana dari segi kesetiaan mereka pada rakan politik tidak ada,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Azhari pada itu turut sama menyoal kompetansi PN kerana tidak mempunyai kesepakatan dalam menentukan hala tuju mereka apatah lagi keupayaan untuk mentadbir negara.
Katanya lagi ini berbeza seperti kesepakatan dicapai Barisan Nasional (BN) yang menyaksikan kerjasama erat dalam kalangan parti-parti naungan.
“Kalau dua parti itu tidak boleh bincang siapa yang hendak jadi calon Perdana Menteri PN macam mana hendak mentadbir negara?
“Dua parti sahaja tapi tak boleh duduk bincang selesaikan siapa yang hendak jadi mengetua tadbir negara.
“Tidak seperti BN walaupun ada banyak komponen parti tapi sebulat suara bagi UMNO mengetuai BN,” ujar. – UMNO Online