Selesaikan Secara Musyawarah, Elak Bertelagah Sesama Sendiri Dalam UMNO – Mustapha

KUALA LUMPUR, 22 Jan – Setiausaha Agung Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakob berharap ahli parti termasuk kepimpinan untuk henti bertelagah sesama sendiri bagi mengekalkan keharmonian dalam keluarga besar UMNO.

Menurut beliau sekiranya perbalahan dibiarkan berterusan ia akan memberikan impak kepada kesepaduan yang telah dicapai parti keramat ini.

“Perkembangan terakhir ini dalam kepimpinan UMNO amat membimbangkan. Ada yang menembak sesama sendiri. Ada yang mengeluarkan kenyataan yang merugikan parti. Ada yang bercakap seolah-olah mereka bukan ahli parti. Malah ada yang dilihat mereka sebagai ejen parti lain.

“Keadaan ini boleh mengelirukan ahli. Akibatnya ahli turut menjadi tukang karut. Saya rasa mereka patut berhenti dari bertelagah sesama sendiri. Bukan masanya untuk berkelahi untuk membuktikan kehebatan masing-masing.

“Sebaliknya mereka patut bersatu hati mencari jalan bagaimana untuk memperkuatkan parti dan mengebalikan kepercayaan ahli kepada UMNO. Sebarang salah faham mesti diperbetulkan secara musyawarah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebbok.

Mustapha turut mengingatakan bahawa UMNO bukanlah parti dominan dalam kerajaan dan diibarat seperti penggenap kepada sukatan dan timbangan, namun perlu kembali menjadi parti yang mempunyai kuasa tawar menawar lebih selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Katanya demi mencapai perkara tersebut UMNO perlu meraih kembali kepercayaan rakyat termasuk ahli parti.

“Caranya UMNO mesti menang dengan jumlah kerusi yang lebih besar. Kita mampu melakukannya sekiranya kita mahu tapi kalau kita tidak bersatu maka mustahil kita akan berjaya.

“Jangan biarkan ahli UMNO hilang kepercayaan dan keyakinan kepada parti. Jangan biarkan orang Melayu terus menjauhi UMNO. Kita tidak mampu kehilangan mereka kerana kehilangan mereka bermakna kekalahan parti kita.

“Sekiranya dalam PRU16 nanti kita terus mengulangi nasib seperti PRU15, maka bermakna kita bebal dan babil untuk mengakui yang kita lemah dan tidak bersyukur dengan amaran Allah kepada kita yang masih memberi nafas kepada UMNO,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit