Tiba-tiba Ada Nak Jadi ‘Hero’ Dalam Isu Najib, Ahli UMNO Jangan Terpedaya – Othman Desa

KUALA LUMPUR, 23 Jan – Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa mengingatkan anggota parti agar terus berpegang kepada pesanan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah menasihatkan ahli dan pimpinan parti agar tidak terpedaya dengan permainan politik Pas dalam pelbagai isu. 

Katanya, tindakan Pas yang cuba menjadi ‘hero’ dalam isu tertentu adalah tidak ikhlas dan berpotensi merosakkan perpaduan dalam UMNO.

“Tiba-tiba mereka menjadi ‘hero’ pada saat akhir, ini ada tersirat dan jangan terpedaya. Kita teruskan dengan cara kita jangan berpecah dan kuatkan parti dan perjuangan UMNO.

“Sekarang ini Pas mula hendak jadi ‘champion’, nak jadi ‘hero’ kononnya mahukan Najib Razak bebas.

“Inilah sikap Pas yang tidak ikhlas dan sengaja hendak kelirukan pada UMNO. Sebenarnya mereka mahukan parti ini (UMNO) berpecah dan bertelagah, begitu juga dengan kerajaan hari ini,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Mengulas lanjut Othman memaklumkan cukup memahami politik parti Pas yang suka mengambil kesempatan sedangkan dulu mereka terlalu banyak serta mengatakan yang buruk-buruk pada Najib Razak.

“Macam-macam isu yang dikatakan Pas terhadap ‘bossku’ . Perkara ini berlaku semasa mereka dalam pentadbiran kerajaan mahupun menjadi pembangkang.

“Menteri Pas pun pernah menjadi Menteri Undang-undang dan masa itu segala perkara mengenai Najib Razak tidak dibangkitkan sedangkan mereka boleh bangkit masa menjadi kerajaan.”

Tambah beliau, Pas kini cuba mengambil kesempatan dalam isu-isu politik dengan tujuan untuk melemahkan UMNO, berikutan perkembangan positif kerajaan sekarang.

Ujarnya, Pas mula mencuba untuk meraih keuntungan politik setelah melihat keadaan kerajaan yang semakin stabil dan baik.

“Apabila mereka (Pas) sudah nampak kerajaan sekarang semakin elok dan bagus, Pas cuba mengambil kesempatan dalam pelbagai isu dan mencari keuntungan politik supaya UMNO semakin lemah,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit