Mohamed Khaled Sampaikan Bantuan Banjir, Harap Semua Pihak Sentiasa Siap Siaga
KUALA LUMPUR, 20 Jan – Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin telah menjayakan Majlis Penyerahan Sumbangan PTPTN kepada mangsa yang terjejas akibat bencana banjir.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, semua pihak perlu bersiap siaga sekiranya berlaku gelombang kedua agar keadaan sentiasa terkawal.
“Berada di Dewan Serbaguna Tanjung Sedili untuk menjayakan Majlis Penyerahan Sumbangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada sebahagian mangsa yang terjejas akibat fenomena air pasang besar dan bencana banjir tempoh hari.
“Penerima sumbangan pada hari ini merupakan mereka yang terjejas akibat bencana banjir tetapi tidak perlu pindah ke pusat pemindahan sementara (PPS). Sudah tentunya mereka juga perlu diberikan pembelaan dan bantuan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak PTPTN di atas inisiatif yang dilakukan untuk membantu mangsa-mangsa meringankan beban dihadapi.
“Alhamdulillah, keadaan banjir yang berlaku di Kota Tinggi tidak seteruk seperti tahun-tahun sebelumnya. Namun begitu, kita perlu bersiap siaga sekiranya berlaku gelombang kali kedua dan diharapkan ia dalam keadaan yang terkawal.
“Terima kasih kepada pihak PTPTN atas inisiatif yang dilakukan ini untuk meringankan beban yang dihadapi oleh mangsa yang terlibat. Sebagai masyarakat yang penuh dengan nilai, marilah sama-sama doakan agar PTPTN terus kukuh dan berjaya pada masa akan datang, insya-Allah,” katanya.
Pada 10 Januari media melaporkan seramai 335 mangsa banjir daripada 124 keluarga dipindahkan ke lapan PPS melibatkan Sungai Mas dan Bandar Penawar di Pengerang, Johor Lama serta kawasan sekitar bandar Kota Tinggi. – UMNO Online