KKDW Garis Empat Fokus Utama, Pacu Kemajuan Desa – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah menggariskan empat fokus utama untuk memacu kemajuan desa kata menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO berkata, KKDW telah melaksanakan penjenamaan semula Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).

“Hasil pemukiman tahun lalu, KKDW telah melaksanakan penjenamaan semula PPRT kepada PPRS. Langkah ini bukan sahaja memberikan nafas baharu, malah memperkenalkan imej yang lebih positif dan mesra.

“Kadar bantuan untuk projek bina baharu rumah di Semenanjung Malaysia telah dinaikkan daripada RM66,000 kepada RM79,000, iaitu peningkatan sekitar 20 peratus.

“Manakala di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, kadar bantuan pula meningkat daripada RM79,000 kepada RM85,000, iaitu kenaikan lebih kurang 8 peratus. Kos baik pulih rumah turut diselaraskan daripada RM15,000 di Semenanjung Malaysia dan RM17,000 di Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan, kepada RM20,000,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, keluasan binaan rumah juga ditambah untuk memberikan keselesaan kepada para penerima.

“Menarik lagi, keluasan binaan rumah ditambah daripada 660 kaki persegi kepada 680 kaki persegi supaya dapat memberikan sedikit keselesaan kepada penerima berdasarkan kesesuaian tapak dan lokasi yang diterima.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada agenda pemukiman yang telah dilaksanakan oleh KKDW. Hari ini, KKDW meneruskan usaha tersebut dengan menetapkan hala tuju pembangunan desa; saya akan bermukim bersama-sama 140 warga KKDW, yang terdiri daripada pengurusan tertinggi, pegawai kanan Kementerian, serta Jabatan dan Agensi di bawah KKDW, bermula petang ini sehingga 19 Januari 2025 di Bahang Bay, Pulau Pinang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa KKDW akan memperhalusi ‘cross-functional’ approach yang menggariskan empat fokus utama sebagai tunjang hala tuju KKDW pada tahun 2025.

“Kita akan memperhalusi cross-functional approach yang menggariskan empat fokus utama sebagai tunjang hala tuju Kementerian pada tahun 2025, iaitu pembangunan modal insan, keusahawanan, ekonomi dan reformasi birokrasi.

“Insya-Allah, lebih banyak idea dan ‘game changer’ baharu akan lahir daripada sesi pemukiman kali ini, sekali gus memacu potensi pedesaan dengan lebih berkesan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit