UMNO Beaufort Teruskan Khidmat Bakti, Aplikasi Dari Rakyat Kepada Rakyat

BEAUFORT, 15 Jan – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat terus memperkukuhkan semangat ‘Dari Rakyat kepada Rakyat’ yang telah sebati dengan UMNO melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan bantuan di kawasan Parlimen P177 di sini.

Beliau memaklumkan, menerusi Biro Kebajikan UMNO Bahagian Beufort aplikasi dan peranan penting dilaksana dalam memastikan saluran bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan.

“UMNO bukan sekadar parti politik, tetapi platform untuk mendekati dan membantu rakyat dalam apa jua keadaan,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, baru-baru ini, Biro Kebajikan UMNO Bahagian Beaufort menyantuni Ruslan Muhammad di Kampung Tanjung Aru, yang bakal melangsungkan majlis perkahwinan anaknya tidak lama lagi.

Ini disusuli dengan program ziarah kepada keluarga Allahyarham Ariffin Mohd Said di Kampung Darar Menumbok serta keluarga Allahyarham Ali Ibnu dan Allahyarham Masni Mahmud di Kampung Tanjung Aru.

“Lawatan ini bertujuan memberikan sokongan moral dan memastikan keperluan dipenuhi. Ia juga disertai dengan penyampaian sumbangan ikhlas sebagai tanda sokongan kepada keluarga.

“Usaha ini adalah bukti keprihatinan UMNO Beaufort dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan sebagaimana iltizam untuk memperkukuhkan hubungan antara parti dan masyarakat.

“Aktiviti seperti ini bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah menjadi contoh bahawa politik boleh menjadi saluran untuk membawa perubahan positif dalam kehidupan masyarakat. Inilah wajah sebenar perjuangan kita iaitu menyantuni rakyat tanpa mengira latar belakang.”

Katanya, melalui pelbagai program kebajikan UMNO Bahagian Beaufort berharap dapat melahirkan masyarakat yang lebih harmoni, bersatu, dan saling menyokong antara satu sama lain.

“Kami mahukan masyarakat yang sepakat dan sama-sama memupuk perpaduan, maka UMNO Bahagian Beaufort menyeru masyarakat setempat untuk terus bersama-sama menyokong usaha murni ini, demi kelangsungan pembangunan dan kesejahteraan semua pihak,” katanya lagi.

Terdahulu, sumbangan melalui gerak kerja turun padang telah disampaikan oleh Jawatankuasa UMNO Bahagian, Marjuki Sidek dan Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjung Aru, Mahal Lakat dengan kehadiran disertai jawatankuasa empat peringkat UMNO Bahagian Beaufort. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit