‘Eco Pemuda’ Beri Ruang Anak Muda Mula Berniaga – Pemuda Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR, 16 Jan – Pemuda UMNO Kuala Kangsar terus bergerak ke depan dengan pelbagai perancangan serta pelaksanaan dalam usaha membantu anak-anak muda setempat khususnya dalam soal ekonomi.

Terkini Ketua Pemudanya, Mohamad Arif Abdul Talib berkata Ekonomi Pemuda atau nama singkatannya Eco Pemuda memberi tumpuan kepada anak-anak muda untuk melibatkan diri dalam  perniagaan.

Langkah itu menurut beliau sedikit sebanyak membantu mereka yang berminat dalam soal perniagaan dalam lingkungan bajet yang telah ditetapkan menerusi Eco Pemuda iaitu sebanyak RM500.

“Alhamdulillah… Eco Pemuda yang kita perkenalkan insya-Allah sedikit sebanyak membantu anak-anak muda sepertimana yang saya katakan tadi iaitu penglibatan dalam perniagaan kecil-kecilan bagi mereka yang berminat.

“Ini adalah salah satu program Pemuda UMNO Kuala Kangsar untuk menjana atau membantu ekonomi anak-anak muda kita, insya-Allah,” katanya kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi menerusi Eco Pemuda, geran yang akan disalurkan bukanlah satu jumlah yang cukup besar namun diharap mampu menampung bagi mereka yang menceburkan diri dalam perniagaan kecil.

Beliau seterusnya berkongsi program berkenaan menerusi media sosial dengan penyerahan barangan keperluan perniagaan kepada salah seorang peserta yang terlibat di Kg Pakri

“Alhamdullilah hari ni dapat memberi bantuan perniaga kepada saudara Hamdan, daripada Kg Pakri untuk menambah keperluan barangan perniagaan. Sumbangan khemah dan juga dapur bagi memudahkan lagi urusan beliau sekeluarga. Didoakan agar sahabat dan bondanya dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit